Gambar hiasan

KUANTAN –  Seorang kerani di Rompin kerugian wang simpanan berjumlah RM649,150 setelah terjebak dengan skim pelaburan tidak wujud menerusi pautan iklan di laman Facebook.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, mangsa merupakan seorang wanita berusia 52 tahun.

“Mangsa telah melayari laman Facebook dan ternampak satu iklan mengenai pelaburan saham menggunakan nama ‘Apex Pelaburan Saham‘.

“Mangsa kemudian menekan pautan iklan tersebut dan selepas itu menerima satu mesej daripada seorang individu bernama Elaine yang mengajaknya untuk menyertai satu kumpulan WhatsApp bertajuk ‘Wealth Strategy Conference_166‘,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Azry, mangsa kemudian dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp baharu yang dinamakan ‘VIP1901‘ dan mula membuat pelaburan pada 20 Mac hingga 9 Mei lalu ke beberapa akaun syarikat yang diberikan suspek.

Setelah membuat kesemua pindahan wang tersebut, beliau berkata, mangsa menyedari telah menjadi mangsa penipuan pelaburan dan mengalami kerugian keseluruhan berjumlah RM649,150.

Azry menasihati orang ramai agar membuat semakan terlebih dahulu sebelum membuat pelaburan dan tidak mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang lumayan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast