KUANTAN – Padah berpura-pura menjadi mangsa samun dan merancang rompakan barang kemas di rumah ibu mentua sendiri akhirnya memakan diri.
Dalam kejadian di Felda Chini Timur 1, Pekan dekat sini seorang suri rumah dan lima kenalan lelakinya dicekup polis pada 15 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, tangkapan dibuat Jabatan Siasatan Jenayah Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan.
“Kejadian samun itu dilaporkan berlaku pada 20 Mac lepas kira-kira pukul 11.45 malam dan melibatkan kerugian dianggarkan sebanyak RM12,000 membabitkan barangan kemas dan telefon bimbit.
“Siasatan mendapati wanita berusia 27 tahun itu pada mulanya tampil membuat laporan polis mendakwa mangsa samun oleh empat individu bertopeng dengan menggunakan senjata tajam.
“Siasatan lanjut mendapati mangsa rupa-rupanya merupakan dalang utama kejadian dan berpakat dengan salah seorang suspek lelaki untuk menyamun barangan kemas milik ibu mentuanya sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd Zaidi, barangan yang disamun kemudiannya dijual kepada seorang lagi individu dan hasil jualan itu digunakan untuk membayar salah seorang suspek serta melunaskan hutang ahlong.
Jelasnya, ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap keenam-enam suspek mendapati empat daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine manakala dua lagi termasuk wanita yang mendalangi kejadian didapati negatif.
Pemeriksaan lanjut turut mendedahkan empat daripada suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk samun, pecah rumah dan kesalahan berkaitan dadah.
Antara barangan yang berjaya dirampas termasuk tiga unit telefon bimbit pelbagai jenama, seutas rantai leher, seutas gelang tangan, beberapa helai pakaian, sebilah pisau berhulu kayu, kad bank serta dokumen pajak gadai.
“Kesemua suspek yang berusia antara 27 hingga 36 tahun kini direman sehingga 23 Mei ini dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan,” katanya.
Menurut Mohd Zaidi, dua suspek utama iaitu wanita terbabit dan rakan lelakinya akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuantan pada 23 Mei ini atas kesalahan melakukan samun berkumpulan bersenjata.
Dalam masa sama, beliau memberitahu, suri rumah itu juga disiasat mengikut Seksyen 182 kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Suri rumah menjerit, rumah dimasuki empat perompak bertopeng
















