Gambar : JBPM Pahang

KUANTAN – Tujuh sekeluarga terselamat dalam kebakaran sebuah rumah teres setingkat setengah di Taman PSJ Sungai Karang, di sini, tengah malam tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 11.30 malam ketika kesemua mangsa sedang tidur.

“Rumah milik sendiri itu didiami suami isteri bersama tiga anak perempuan dan dua anak lelaki berusia lima sehingga 15 tahun.

“Kebakaran berpunca daripada bilik utama di bahagian bawah rumah lot sudut itu dan pihak bomba masih menyiasat punca sebenar kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, dua daripada kanak-kanak terlibat mengalami kecederaan ringan iaitu melecur di bahagian tangan kanan, manakala kesemua mangsa yang lain tidak mengalami kecederaan.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Bomba Pahang, Zulfadli Zakaria memaklumkan, seramai 14 anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng dan Indera Mahkota terlibat memadamkan kebakaran.

Proses pemadaman mengambil masa selama kira-kira 30 minit dan 60 peratus kebakaran berjaya dipadamkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast