Pekerja kontraktor memasang logo ASEAN menjelang Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 21 MEI 2025.

KUALA LUMPUR – Sidang Kemucak ASEAN Ke-46 merupakan peluang dan masa terbaik untuk membuktikan  Malaysia mampu mengemudi persidangan yang bakal menjadi tumpuan dunia.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, persidangan kali ini merupakan peluang untuk Malaysia menunjukkan sifat neutral dan kemampuan menjalinkan hubungan baik dengan negara yang mempunyai prinsip yang sama.

“Ini peluang yang sangat sangat baik untuk kita bukan hanya (untuk) mengikuti beberapa kenyataan rasmi yang akan dibuat oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim)  dan ketua-ketua kerajaan selain ketua-ketua negara, tapi saya percaya sempena Kepengerusian ASEAN ini, kita mampu menunjukkan kita berjaya mainkan peranan dalam mengemudi beberapa perkara. 

“Saya lihat peluang yang amat baik untuk kita menunjukkan bahawa negara (ini) bersifat neutral dengan negara yang ingin berdagang dan menjalinkan hubungan. Kita boleh tunjukkan (bahawa) kita berkawan dengan negara yang ingin berkawan dengan kita,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) selepas meninjau persediaan persidangan yang akan bermula Jumaat ini.

Sementara itu, Fahmi menyifatkan persidangan berkenaan merupakan masa yang terbaik untuk mempromosikan Kuala Lumpur kepada pemimpin dunia.

Jelasnya, sepanjang 10 tahun Kuala Lumpur telah melalui kemajuan yang sepatutnya dibanggakan seterusnya dipertontonkan kepada antarabangsa.

Sementara itu, Fahmi menyarankan syarikat-syarikat swasta sekitar ibu kota memberi kelonggaran untuk melaksanakan ‘kerja dari rumah’ sepanjang persidangan berlangsung.

“Dalam masa yang sama ramai yang perlu rancang perjalanan dan keberadaan di tempat kerja, maka saya pohon terutamanya syarikat swasta beri ruang para pekerja bekerja dari rumah,” tambahnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast