Mangsa, Siti Mariani, 36, yang bertugas di Unit Pendakwaan JPJ Temerloh disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah - Foto Tular

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Temerloh maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah lori ais yang terbalik di tengah laluan di Kilometer 137, Jalan Kuala Lumpur–Kuantan, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.16 petang ketika kedua-dua kenderaan datang dari arah Temerloh menghala ke Mentakab.

“Siasatan awal mendapati lori yang dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum cuba mengelak penghadang jalan lalu terbalik di tengah laluan.

“Motosikal yang ditunggang mangsa berada di belakang lori dan tidak sempat mengelak, sebelum merempuh bahagian tengah lori terbabit,” katanya.

Akibat kemalangan itu, Mangsa, Siti Mariani, 36, yang bertugas di Unit Pendakwaan JPJ Temerloh disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah manakala pemandu lori mengalami kecederaan di kedua-dua belah kaki.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast