Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiring Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif MaiStorage, Datuk KS Pua melawat pameran selepas Majlis Pelancaran Maistorage Technology Sdn Bhd (MTSB) di Le Meridien, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 22 MEI 2025

PUTRAJAYA – Malaysia terus mengorak langkah dalam memperkukuh peranannya sebagai peneraju transformasi digital di rantau ASEAN, selaras dengan keutamaan Kepengerusian ASEAN yang kini diterajui negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika Malaysia bersiap untuk bertemu pemimpin ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) serta China minggu ini, fokus utama kepengerusian Malaysia dalam ASEAN adalah transformasi digital, selain peralihan tenaga yang turut mendapat kejayaan bersama Vietnam dan Singapura.

“Transformasi digital bukan sekadar pengumuman retorik, tetapi satu usaha bersepadu yang akan dikongsi bersama negara jiran. Kita mahu ASEAN, di bawah Malaysia menjadi hab digital yang lebih kompetetif,” katanya ketika berucap merasmikan Maistorage Technology Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

Menurut Perdana Menteri, kejayaan itu didorong oleh kestabilan serta kejelasan dasar yang diperkenalkan Malaysia, termasuk pelancaran Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), peta hala tuju digital dan kerangka dasar yang menunjukkan tekad kerajaan dalam meletakkan keutamaan strategik negara.

Namun begitu, Anwar menegaskan bahawa cabaran sebenar kini terletak pada pelaksanaan yang berkesan dan telus.

“Kita mesti mengelakkan rasuah, salah guna kuasa dan memastikan dasar dilaksanakan dengan efisien. Hanya dengan itu, Malaysia boleh menjadi syurga pelaburan untuk pembangunan kecerdasan buatan (AI) dan digital yang bermakna, bukan sekadar pusat estetik tetapi, membawa nilai tinggi,” ujar beliau.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Pelancaran Maistorage Technology Sdn Bhd (MTSB) di Le Meridien, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 22 MEI 2025

Anwar memuji komitmen syarikat-syarikat teknologi yang kini mula memberi peluang kepada jurutera dan tenaga profesional untuk memiliki saham dalam syarikat masing-masing, satu pendekatan baharu yang menjurus kepada prinsip keadilan dan kepedulian seperti yang terkandung dalam kerangka Madani.

“Usaha ini bukan sahaja membawa keuntungan kepada syarikat, tetapi turut memberi penghargaan kepada golongan profesional dan teknologis. Ini bukan sesuatu yang lazim kita lihat, tetapi inilah anjakan paradigma yang patut kita galakkan,” katanya.

Perdana Menteri turut menzahirkan harapan agar usaha ini diberkati dan membuahkan kejayaan besar, sekaligus mengangkat nama Malaysia di persada dunia dalam bidang digital dan teknologi.

“Anak muda dan rakyat Malaysia keseluruhannya akan mengikuti perkembangan ini dengan rapat. Kita bangga dengan profesional kita yang bukan sahaja berkemahiran tinggi, tetapi turut menunjukkan komitmen luar biasa dalam memastikan Malaysia benar-benar melaksanakan transformasi digital secara menyeluruh,” tambah beliau lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast