KEPIMPINAN Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia menandakan fasa baru dalam pendekatan diplomatik dan geopolitik negara khususnya dalam konteks ASEAN dan negara-negara Global South.
Gesaan Awar supaya kepimpinan Malaysia dalam ASEAN dan suara beliau di Global South membentuk dinamika sejagat bukan sekadar retorik diplomatik tetapi satu naratif yang mencerminkan cita-cita strategik Malaysia dalam menyusun semula orientasi kuasa dunia yang selama ini tertumpu pada kutub utara geopolitik iaitu Amerika Syarikat (AS), Eropah dan sekutu baratnya.
Anwar berusaha untuk mengangkat suara Global South sebagai aktor sah dan berpengaruh dalam menentukan arah pembangunan, keselamatan, ekonomi dan keadilan global.
Dalam era ketidaktentuan geopolitik pasca-pandemik, perang Ukraine serta kemunculan China, Rusia dan kuasa-kuasa baharu lain, inisiatif Malaysia untuk tampil sebagai suara konsensus Global South bukan hanya relevan tetapi juga strategik.
Ia menunjukkan keberanian Anwar untuk mencabar struktur lama sistem antarabangsa yang sering meminggirkan negara-negara membangun.
Tambahan pula sebagai pengerusi ASEAN pada tahun-tahun mendatang, Malaysia di bawah Anwar menunjukkan kecenderungan untuk memainkan peranan lebih proaktif dalam mendepani krisis serantau terutamanya isu Myanmar, Laut China Selatan dan hubungan kuasa besar yang mempengaruhi keharmonian rantau ini.
Anwar tidak teragak-agak untuk menekankan bahawa ASEAN tidak boleh terus kekal dalam sindrom “non-interference” yang membataskan keupayaan organisasi itu dalam menangani pelanggaran hak asasi dan krisis kemanusiaan.
Dasar “non-inteference” Asean haruslah mengikut konteks dan tidak tangkap muat sahaja.
Anwar turut menyeru agar ASEAN tidak menjadi “medan pertempuran kuasa besar” dan sebaliknya mengukuhkan pendekatan “ASEAN Centrality” satu prinsip yang mengutamakan suara kolektif negara Asia Tenggara dalam menetapkan halatuju rantau ini.
Dalam hal ini, kepimpinan Malaysia membawa nilai-nilai moral dan prinsipil yang berpaksikan keadilan, kewibawaan dan kedaulatan undang-undang, prinsip yang menjadi tunjang dalam pemikiran politik Anwar sejak era reformasi lagi.
Tambahan pula pendekatan Malaysia dalam mengimbangi hubungan dengan China, AS dan Jepun juga menunjukkan keupayaan Anwar untuk mengemudi diplomasi pelbagai kutub dengan bijaksana, tanpa menjadi alat mana-mana kuasa besar.
Ini membolehkan Malaysia memainkan peranan sebagai “honest broker” dalam menangani isu-isu rumit serantau.
Konsep Global South yang selama ini dipinggirkan dalam naratif arus perdan sejagat kini kembali mendapat tempat dalam wacana hubunngan antarabangsa terutamanya dalam isu ketidaksamarataan vaksin, ketidakadilan perdagangan dan kegagalan sistem kewangan global dalam menyokong pembangunan mampan negara-negara membangun.
Dalam konteks ini Anwar tampil sebagai salah seorang pemimpin yang berani menyuarakan kegagalan struktur global yang sedia ada.
Ucapan-ucapan beliau di pentas antarabangsa seperti Sidang Kemuncak ASEAN, Dialog Selatan-Selatan dan Forum Ekonomi Dunia mencerminkan satu usaha konsisten untuk membawa suara Global South agar lebih berpengaruh dalam platform seperti PBB, G77, BRICS dan lain-lain.
Anwar turut menggesa reformasi dalam sistem kewangan global termasuk institusi seperti IMF dan Bank Dunia yang dilihat masih dikawal oleh kepentingan Barat.
Malah, pendekatan Anwar dalam menjalin hubungan dengan negara-negara Afrika, Amerika Latin dan Asia Selatan membuka ruang baharu untuk kerjasama Selatan-Selatan yang lebih bermakna. Malaysia kini tidak lagi sekadar pemain kecil dalam sistem antarabangsa, tetapi cuba membina jaringan solidariti global yang lebih adil dan saksama.
Namun cita-cita besar ini tidak datang tanpa cabaran. Malaysia masih berdepan dengan kekangan dalaman dari segi kestabilan politik, keupayaan ekonomi dan cabaran institusi.
Untuk memainkan peranan sebagai pemimpin Global South, Malaysia perlu menunjukkan kestabilan domestik yang meyakinkan serta dasar luar yang konsisten dan berkredibiliti.
Terdapat juga persoalan sejauh mana negara-negara Selatan Global lain akan menerima Malaysia sebagai pemimpin moral atau strategik mereka.
Walaupun Anwar dikenali di peringkat antarabangsa sebagai figura yang memperjuangkan keadilan dan demokrasi, penerimaan institusi antarabangsa dan kuasa-kuasa besar terhadap kepimpinan Malaysia masih bersifat berhati-hati.
Malaysia perlu membuktikan bahawa kepimpinannya bukan bersifat simbolik semata-mata tetapi disusuli dengan dasar, pelaburan diplomatik
Ia membawa harapan besar terhadap perubahan struktur kuasa dunia yang lebih adil dan seimbang. Dalam dunia yang sedang menuju multipolariti, Malaysia di bawah Anwar berpeluang mencorak semula peranannya sebagai negara kecil yang berprinsip dan strategik.
Namun, tugas ini menuntut kebijaksanaan geopolitik, kekuatan institusi dan iltizam nasional yang tinggi.
Kepimpinan Anwar bukan sahaja akan diukur melalui wacana dan ucapan tetapi sejauh mana Malaysia mampu memimpin dengan teladan, menawarkan penyelesaian dan membina jaringan antarabangsa yang mampan.
Sekiranya berjaya, Malaysia berpotensi menjadi antara suara terpenting dalam pentas global yang sedang mencari arah dan keadilan baharu.
Ismail Hashim Yahaya
Penulis adalah pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa
;
















