KUALA LUMPUR – Misi Perniagaan Malaysia ke Jepun 2025 yang berlangsung selama tujuh hari baru-baru ini berjaya membuka peluang kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Jepun, khususnya dalam memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Misi anjuran bersama Jawatankuasa Hal Ehwal Ekonomi dan PKS MCA serta Jawatankuasa Perhubungan MCA Negeri Selangor itu melibatkan lawatan ke Tokyo dan Osaka, termasuk kunjungan ke empat syarikat, persatuan dan kelab perniagaan Jepun.
Beberapa perjanjian penting juga dimeterai sepanjang lawatan tersebut.
Antaranya termasuk memorandum persefahaman bersama Kelab Perniagaan Honmachi Osaka, perjanjian kerjasama dengan Syarikat ABCD serta sesi dialog dengan Dewan Perdagangan dan Perindustrian Jepun (JCCI).
Selain itu, turut diadakan sesi padanan perniagaan antara wakil PKS dari kedua-dua negara serta majlis makan malam pertukaran budaya yang dianjurkan oleh Datuk Sri Tan Yun Tong.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Ekonomi dan PKS MCA, Datuk Ir. Lawrence Low berkata, misi ini telah berjaya membuka pintu kepada syarikat Malaysia untuk menembusi pasaran Jepun. Ia juga memperkukuh peranan MCA dalam membantu PKS tempatan melangkah ke peringkat antarabangsa.
“Lawatan ini bukan sahaja memperluas rangkaian perniagaan, tetapi juga memberi pendedahan tentang cara kerja, teknologi, piawaian produk dan budaya korporat Jepun. Ini sangat penting untuk meningkatkan tahap keyakinan syarikat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Lawrence yang juga Naib Presiden MCA, misi berkenaan turut melibatkan lawatan ke tiga agensi kerajaan Jepun serta dua pameran perdagangan utama.
Beliau berharap usaha seperti itu akan diteruskan bagi memastikan kerjasama yang terjalin dapat memberikan manfaat jangka panjang dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.– MalaysiaGazette
















