KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE) menyambut baik cadangan untuk menaikkan umur persaraan wajib daripada 60 kepada 65 tahun seperti yang dikemukakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Setiausaha Agung NUBE, J. Solomon, berkata cadangan itu adalah langkah tepat dan praktikal dalam menangani cabaran sosioekonomi rakyat, terutama ketika negara menuju ke arah status masyarakat menua.
“Persaraan seharusnya menjadi satu hak, bukan sekatan. Warga emas yang masih sihat, berkemampuan dan bersemangat tidak wajar dianggap sebagai tidak relevan.
“Sebaliknya, mereka masih boleh terus menyumbang secara bermakna kepada masyarakat dan ekonomi negara,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Menurut beliau, golongan muda masa kini lebih cenderung kepada kerjaya fleksibel dan ekonomi gig, menjadikan sektor pekerjaan tetap seperti perbankan tidak lagi terlalu padat dengan permintaan daripada mereka.
Oleh itu, ujarnya, isu kekurangan peluang kerja kepada golongan muda akibat pelanjutan umur persaraan tidak seharusnya dibimbangi secara berlebihan.
Tambahnya, sektor perbankan kini menawarkan pelbagai bentuk pekerjaan yang sesuai dengan kecenderungan belia seperti jualan, pusat panggilan dan IT.
Malah, ramai yang memilih kontrak dan komisen berbanding kekal dalam jawatan tetap
Katanya lagi, ahli kesatuan telah menyuarakan sokongan terhadap pelanjutan umur persaraan kepada 65 tahun melalui Perjanjian Kolektif ke-20, dengan syarat ia bersifat pilihan.
“Kami percaya bahawa selagi pelanjutan umur persaraan ini bersifat sukarela, sambutannya akan terus positif.
“Ini terbukti apabila sebelum ini, ramai ahli menyokong lanjutan umur persaraan daripada 60 ke 61 tahun dan turut merayu agar dilanjutkan lagi selepas tamat tempoh,” katanya
Solomon turut menyarankan agar pelaksanaan dasar berkenaan disertai dengan penubuhan sebuah badan tiga pihak yang melibatkan kerajaan, majikan dan kesatuan sekerja bagi meneliti cabaran, memantau kesan serta membuat penyesuaian dari semasa ke semasa.
Antara cadangan NUBE termasuklah pengenalan program latihan semula dan peningkatan kemahiran, pengaturan kerja fleksibel, serta penilaian beban kerja dan peranan bagi pekerja berusia.
Selain itu, beliau mencadangkan kempen kesedaran nasional bagi mendidik pekerja tentang hak, perancangan kewangan dan pilihan persaraan.
“Kerajaan perlu menggubal dasar buruh yang inklusif dan dinamik, mengimbangi keperluan industri dan perubahan generasi, serta mengelak pendekatan ‘satu penyelesaian untuk semua’.
“Kami juga menyeru agar mesyuarat tiga pihak diadakan agar semua pihak berkepentingan dapat memberikan pandangan dan maklum balas yang membina,” katanya lagi.
Dalam pada itu, NUBE turut menyatakan kesediaan untuk menyumbang kepada kajian dan pelaksanaan dasar ini, khususnya dalam konteks sektor kewangan di Semenanjung Malaysia.
“Kita pernah menaikkan had umur persaraan daripada 55 ke 60 tahun pada tahun 2012, dan pengalaman itu seharusnya dijadikan rujukan dalam mempertimbangkan cadangan semasa ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















