Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyampaikan ucapan pada Kongres Nasional Keadilan 2024/2025 ketika di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor. Foto MOHD ADZLAN, 24 MEI 2025.

JOHOR BAHRU – Suasana di Kongres Nasional PKR hari ini menjadi sayu apabila Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebak ketika mengenang detik-detik kekalahan Datuk Seri Rafizi Ramli dalam pemilihan parti tersebut.

Dalam ucapannya di hadapan perwakilan, Saifuddin berkongsi momen peribadi yang menyentuh hati, apabila beliau sendiri menghantar Rafizi ke keretanya selepas keputusan rasmi diumumkan semalam.

“Saya hantar Rafizi selepas akhir pemilihan semalam, kami berpelukan,” katanya dengan nada terhenti-henti menahan emosi.

Di sebalik kesedihannya itu, Saifuddin turut meluahkan kebimbangannya terhadap masa depan kepimpinan parti kerana tokoh seperti Rafizi tidak lagi bersama mereka.

“Saya takut kehilangan seorang pemimpin baik seperti Rafizi,” katanya dengan penuh emosi mengenang kekalahan Rafizi.

Antara perwakilan yang hadir pada Sesi Perbahasan Perwakilan Kongres Nasional Keadilan 2024/2025 ketika di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor. Foto MOHD ADZLAN, 24 MEI 2025.

Saat itu suasana hening di dalam dewan.

Beliau menyifatkan Rafizi bukan sekadar rakan seperjuangan, tetapi aset berharga yang telah banyak menyumbang dalam perjalanan reformasi sejak awal penubuhan PKR.

Ucapan Saifuddin itu turut mencerminkan rasa hormat dan penghargaan mendalam terhadap komitmen serta pengorbanan Rafizi dalam membina kekuatan PKR dan Pakatan Harapan secara keseluruhannya.

Tanpa berselindung, Saifuddin berkata, hubungan beliau dan Rafizi lebih kepada adik beradik.

“Saya anggap kami macam adik beradik, banyak perkara yang saya bersetuju, ada juga saya tidak setuju. Kami menghormati pandangan masing-masing.

“Ketika kempen, beliau (Rafizi) kata beliau tidak boleh terima kalau presiden beri laluan mudah kepada orang baharu, kemudian terus cepat naik, saya berbeza pendapat dengan Rafizi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast