Majlis MAHA Berselawat bersempena program muzikal Rhythm Of The Farmers (ROTF).

SERDANG – Selama satu jam tanpa henti, alunan selawat dan qasidah bergema di majlis MAHA Berselawat bersempena program muzikal Rhythm Of The Farmers (ROTF), sekali gus menggamit kerinduan kepada Baginda Nabi Muhammad SAW.

Menghimpunkan nama-nama besar seperti Ustaz Iqbal Zain, Ustaz Husaini Mahmur, Yabang, Inteam, Pot Amir, Azan Addin, Taj Addin, Firlany, Marhaband serta Amer Bin Yusoff, MAHA Berselawat yang bermula sekitar jam 9 malam tadi itu meruntun hati pengunjung untuk mengingati pengorbanan besar yang telah dilakukan oleh Baginda Rasulullah.

Majlis MAHA Berselawat dihadiri Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan tokoh politik, Datuk Mahfuz Omar.

Seramai 100 pelajar Maahad Tahfiz Dar Tarim turut hadir berselawat bersama kira-kira 1,500 pengunjung di pekarangan pentas ROTF bersempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026.

Bukan sahaja menjadi majlis mencari pahala dengan berselawat dan mengingati Baginda Nabi Muhammad menerusi qasidah yang dialunkan, pengunjung bernasib baik juga berpeluang membawa pulang hadiah cabutan bertuah disediakan pihak penganjur.

Antara hadiah cabutan bertuah yang disediakan pada majlis MAHA Berselawat adalah Play Station (PS5), TV Samsung 50 inci, skuter elektrik, air fryer, vacuum cleaner serta power bank fast charger.

Sebelum majlis MAHA Berselawat berakhir, sesi tausiah atau tazkirah disampaikan oleh Ustaz Iqbal Zain yang menyentuh kehidupan manusia seumpama sebatang pokok.

Beliau berkata, pokok yang tumbuh subur bermula daripada akar yang kuat dan begitu juga dengan kehidupan manusia.

Jelasnya, hati manusia yang seumpama akar sebatang pokok perlu disiram dan dibajai dengan zikirullah supaya ia kuat.

Tegasnya, kekuatan sebatang pokok yang tidak dapat dilihat secara zahir adalah akar, ia berada jauh di dalam tanah.

Tambahnya, akar yang kuat juga menghalang pokok daripada tumbang akibat angin kuat, maka begitu juga dengan hati manusia.

“Majlis seperti ini (MAHA Berselawat) adalah baja kepada hati manusia.

“Malah di sini (MAHA 2026) kita dapat melihat ‘kuasa’ di sebalik pertanian yang kita usahakan. Semuanya atas aturan Allah SWT,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here