KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan penghormatan negara menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 serta Sidang Kemuncak Berkaitan dan menyifatkan ia sebagai cerminan komitmen kolektif rantau ini terhadap keamanan, kemakmuran dan perkongsian dalam dan luar ASEAN.
Dalam titah Seri Paduka Baginda pada Majlis Santapan Tengah Hari Diraja di Istana Negara sempena sidang kemuncak itu, Sultan Ibrahim mahu penganjuran Sidang Kemuncak tersebut hadir pada tempoh masa yang amat penting di tengah-tengah kerumitan global yang semakin meningkat.
“Sidang kemuncak ini diadakan semasa dunia menjadi semakin sukar. Menjadi harapan saya agar ASEAN dan rakan kongsinya akan terus bersatu dan saling menghormati, untuk membina masa depan yang inklusif, berdaya tahan dan berpandangan ke hadapan,” titah Seri Paduka Baginda di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.
Sultan Ibrahim turut berkenan menzahirkan ucapan selamat datang kepada semua pemimpin ASEAN serta pemimpin dari Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China, dan menekankan komitmen Malaysia untuk memupuk hubungan serantau dan antara wilayah yang lebih baik.

“Sekali lagi saya mengucapkan selamat datang ke Malaysia. Walaupun ini mungkin lawatan yang singkat, saya berharap anda dapat menikmati layanan mesra Malaysia,” titah Seri Paduka Baginda.
Antara pemimpin ASEAN yang hadir ialah Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra; Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong; Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr; Presiden Indonesia Prabowo Subianto; Perdana Menteri Kemboja Hun Manet; Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone dan Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh. – MalaysiaGazette















