Jurulatih Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) Manchester United, Ruben Amorim (empat kiri) bersama-sama dengan ketua Jurulatih Asean All Stars, Kim Sang Sik (empat kanan) selepas sidang media sempena jelajah pramusim menentang ASEAN All-Stars di W Hotel, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 27 MEI 2025.

KUALA LUMPUR – Lebih 1,000 peminat Manchester United memeriahkan sesi temu mesra bersama bintang kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu di sebuah pusat beli belah terkemuka di sini hari ini.

Sesi temu mesra itu antaranya melibatkan ketua pasukan Bruno Fernandes bersama-sama Manuel Ugarte, Amad Diallo, Alejandro Garnacho dan Kobbie Mainoo.

Suasana juga gamat apabila peminat melaungkan ‘chant’ terkenal Manchester United yang sering kedengaran di gelanggang keramat kelab itu, Old Trafford seperti Glory Glory Man United, Bruno Bruno Bruno dan Viva Garnacho.

Kehadiran skuad The Red Devils di sini sempena aksi pascamusim pasukan itu menentang ASEAN All-Stars di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 8.45 malam esok.

Jurulatih Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) Manchester United, Ruben Amorim (kiri) bersama-sama dengan pemain Mason Mount (kanan) bercakap kepada wartawan ketika sidang media sempena jelajah pramusim menentang ASEAN All-Stars di W Hotel, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 27 MEI 2025.

Biarpun menutup saingan saingan EPL musim 2024/2025 di tangga ke-15, ia sama sekali tidak melunturkan semangat peminat tegar pasukan ternama itu yang hadir memberikan sorakan, bergambar kenangan serta mendapatkan tandatangan daripada pemain kesayangan mereka.

Skuad kendalian Ruben Amorim itu menyenaraikan 32 pemain bagi aksi persahabatan berkenaan sebelum menentang pasukan kebangsaan Hong Kong di Stadium Hong Kong, Jumaat ini.

Kali terakhir Manchester United beraksi di Malaysia ialah pada siri jelajah pramusim 2009, menewaskan Malaysia XI dua kali, 3-2 dan 2-0, masing-masing pada 18 dan 20 Julai di SNBJ. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast