TOKYO – Kerajaan Jepun meminta universiti tempatan mengkaji untuk menerima pelajar-pelajar di universiti Amerika Syarikat (AS) berikutan tindakan Presiden Donald Trump yang mahu menghalang pelajar asing menyambung pengajian di Harvard University.
Pada minggu lalu pentadbiran Trump bertindak menghalang Harvard University menerima pelajar asing, namun seorang hakim menangguhkan arahan itu pada Jumaat lalu.
Trump yang berang dengan universiti itu kerana menolak pengawasan Washington terhadap kemasukan dan pengambilan pelajar ketika beliau mendakwa Harvard University adalah sarang anti-Semitisme dan ideologi liberal.
Menteri Pendidikan Jepun, Toshiko Abe berkata, kementeriannya telah meminta universiti di negara itu melakukan apa yang termampu bagi membantu mereka yang terjejas.
“Kami telah meminta universiti untuk mengkaji melakukan langkah sokongan seperti menerima pelajar antarabangsa yang mendaftar di universiti AS bagi membolehkan pelajar terbabit meneruskan pengajian mereka,” katanya pada sidang media.
‘Beliau berkata, AS merupakan destinasi popular bagi pelajar Jepun yang mahu melanjutkan pengajian di luar negara dan ramai menyuarakan kebimbangan mengenai status mereka.
Beliau berkata, kementeriannya akan melakukan ‘sedaya upaya bagi memastikan golongan muda dengan cita-cita dan bakat meneruskan pengajian mereka’.
Salah sebuah universiti berprestij, University of Tokyo sedang mengkaji untuk menerima pelajar yang terkesan di AS walaupun untuk sementara waktu, menurut Naib Presidennya, Kaori Hayashi dalam temu bual dengan akhbar, Nikkei baru-baru ini.
Pada minggu lalu, jurucakap Kyoto University memberitahu AFP bahawa institusi itu mengkaji untuk menerima penyelidik muda dari universiti AS selain mengkaji semula apa yang boleh dilakukan untuk membantu pelajar di AS.
Pada minggu lalu juga, Setiausaha Pendidikan Hong Kong, Christine Choi menggesa universiti di negaranya mengalu-alukan ‘pelajar cemerlang dari seluruh dunia’. – AFP
















