Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Khairy Jamaluddin berkata, beliau tidak terfikir untuk kembali dalam arena politik negara dalam tempoh waktu terdekat hingga akhir tahun ini.

Bekas Menteri Kesihatan itu berkata, beliau terlalu sibuk dengan banyak projek dan kerja yang sedang dilakukan ketika ini.

Semua itu memerlukan fokus dan komitmennya yang tinggi hingga sukar untuk beralih ke bidang lain pada waktu sama.

“Saya cuma hendak kata saya ada banyak projek dan kerja yang perlu saya beri tumpuan.

“Dan saya gembira dengan apa yang sedang lakukan dan setidak-tidaknya sehingga akhir tahun ini saya tidak terfikir untuk kembali dalam politik.

“Saya hanya buat kerja yang sedang dilakukan yang memerlukan fokus dan masa saya dan sekurang-kurangnya sehingga akhir tahun ini saya sibuk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri “The Healthcare Forum 2.0: Counting The Cost of Care: Can Malaysia Make Healthcare Affordable Again?” di Universiti Malaya di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas namanya menjadi spekulasi untuk kembali ke Kabinet sebagai menteri melalui lantikan sebagai Ahli Dewan Negara.

Pelantikan Khairy dikatakan adalah atas kuota teknokrat dan tidak mewakili mana-mana parti tetapi aspek penerimaan dan sensitiviti parti-parti dalam kerajaan perpaduan khususnya UMNO tetap perlu diambil kira.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan pengunduran Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai Menteri Ekonomi akan diisi oleh Datuk Seri Johari Ghani yang kini memegang portfolio Menteri Perladangan dan Komoditi.

Sumber dalaman parti memaklumkan kepada MalaysiaGazette, kerusi Johari pula akan diisi oleh Khairy.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu kini tidak menyertai mana-mana parti selepas dipecat dari UMNO pada Januari 2023 kerana melanggar disiplin parti semasa PRU15. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast