PUTRAJAYA – Tempoh bercuti sebelum berundur dari Kabinet tidak menghalang Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad untuk menghadiri majlis yang sudah diatur sebelum ini.
Bekas Naib Presiden PKR itu berkata, beliau hadir merasmikan cawangan Naskeen Coffee ke-43 di sini kerana ingin menunaikan janjinya yang dibuat terlebih awal.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Setiawangsa itu mengakui beliau belum memiliki apa-apa perancangan selepas tidak bergelar menteri lagi.
“Ingin saya jelaskan, mereka dah booked saya sudah lama sebelum bercuti. Jadi saya kena tunai janji saya.

“Saya belum ada plan lagi,” katanya yang ceria ketika ditemui pihak media, di sini, hari ini.
Kelmarin, Nik Nazmi mengumumkan telah menghantar surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri, berkuat kuasa pada 4 Julai depan.
Beliau mula bercuti sejak semalam hingga 3 Julai depan.
Beliau berkata, pihaknya sedar kedudukannya sebagai Naib Presiden PKR merupakan antara pertimbangan utama dalam pelantikannya ke Kabinet.
“Memandangkan saya tidak berjaya mempertahankan jawatan tersebut dalam pemilihan parti baru-baru ini, saya telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri,” katanya dalam satu kenyataan sebelum ini.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, jenama kopi tempatan itu dekat di hatinya kerana popular di negeri kelahirannya iaitu Kelantan sebelum ini.
“Lepas bercuti hendak berehat, kalau ada francais (kopi) hendak cuba.
“Join podcast kalau ada jemputan,” katanya yang mengakui hanya bergurau untuk membuka francais cafe kopi.
Nik Nazmi dilantik ke dalam Jemaah Menteri buat pertama kali sebagai Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Disember 2022-Disember 2023), dan seterusnya sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (Disember 2023—Julai 2025). – MalaysiaGazette
















