Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli berpendirian, kritikan UMNO berhubung tindakan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz keluar parti dan memohon menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah munasabah dan perlu diteliti oleh Kerajaan Perpaduan.

Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, pandangan UMNO merupakan kepelbagaian persektif bertujuan mengekalkan keharmonian sesama parti.

“Perkara itu sepatutnya dielakkan kerana ia dikhuatiri membuka pintu yang sukar dijangka pada masa hadapan oleh Kerajaan Perpaduan.

“Kalau ada yang dari UMNO, bagaimana kita menentukan dari peringkat mana. Perkara-perkara seperti ini terpaksa dibincangkan di peringkat Kerajaan Perpaduan.

“Ketika Kerajaan Perpaduan dibentuk, tiada draf yang muktamad berhubung pengambilan ahli parti lain. Saya yang buat draf itu.

“Memang ada `grey area’ yang tiada dalam perjanjian dan tidak dimuktamadkan dahulu.

“Jadi pandangan UMNO itu munasabah dan perlu diambil kira dalam Kerajaan Perpaduan,” ujar beliau ketika ditemui pihak media pada Karnival Belia Madani 2.0 Parlimen Pandan, di Ampang, dekat sini.

Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli melakukan pemeriksaan kesihatan ketika hadir ke Karnival Belia Madani Parlimen Pandan di hadapan Hospital Ampang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 01 JUN 2025.

Ketika ditanya perancangan jangka Panjang Tengku Zafrul memohon menyertai PKR, Rafizi berkata, perkara itu perlu dijawab sendiri oleh ‘tuan punya badan’.

“Sebaiknya tanya Tengku Zafrul, yang tanya aku kenapa? Walaupun dia ada di Mekah, dia ada WhatsApp, jadi boleh tanya dia. Kalau nak tanya perancangan PKR, itu kena tanya pimpinan baharu.

“Perancangan saya atau sebagainya tiada kena mengena dengan Tengku Zafrul, PKR atau Kerajaan Perpaduan. Itu hak saya sebagai pimpinan akar umbi,” ujar beliau.

Menurut Rafizi. sebarang pertanyaan atau kemusykilan berkaitan parti perlu diajukan kepada kepimpinan tertinggi kerana beliau hanya ketua cabang parti.

Ujarnya, jika isu itu ditanyakan kepada beliau, pihak media juga perlu berlaku adil dengan mendapatkan komen daripada kesemua 220 ketua cabang PKR.

Jumaat lalu, Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menerusi hantaran Facebook memaklumkan hasratnya untuk keluar UMNO.

Tengku Zafrul berkata, beliau melepaskan jawatan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja serta keahlian dalam parti itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast