LONDON – Legenda Manchester United, David Beckham mengkritik beberapa pemain kelab itu kerana tidak menghormati penyokong sambil membandingkan kelakuan mereka dengan generasi terdahulu dalam pasukan The Red Devils.
Beckham yang bermain untuk United dari tahun 1992 hingga 2003 dan memenangi Liga Juara-Juara pada tahun 1999 di bawah bimbingan Sir Alex Ferguson tidak mengaitkan nama mana-mana pemain atau menjelaskan secara terperinci mengenai kelakuan yang dimaksudkan.
Beliau turut membandingkan skuad United sekarang dengan pasukan Paris Saint-Germain (PSG) yang berjaya merangkul trofi Liga Juara-Juara pagi tadi.
“Falsafah mereka telah berubah dan semua pemain kekal komited dengannya. Saya rasa mereka benar-benar bersatu sebagai sebuah pasukan,” katanya mengenai PSG semasa Beckham and Friends Live iaitu siaran alternatif secara langsung untuk perlawanan akhir Liga Juara-Juara di saluran Paramount+.
Beckham, 50, berkata, mereka bermain sebagai satu pasukan yang mana setiap pemain berlari untuk membantu antara satu sama lain dan itulah yang penyokong mahu lihat.
“Bila anda menyokong sesebuah kelab, itulah semangat yang anda harapkan tetapi malangnya, itu bukan apa yang kita lihat di United sekarang,” katanya.
Ditanya sama ada beliau merujuk kepada pihak pengurusan atau pemain, Beckham menjelaskan bahawa dia bercakap mengenai pemain.
“Ini memang situasi yang sukar tetapi secara jujurnya saya tidak suka dengan apa yang sedang berlaku di United.
“Apa yang berlaku di atas padang memang penting tetapi pada pengamatan saya sebagai seorang peminat dan pencinta United, nampak banyak perkara di luar padang yang tidak betul,” kata bapa kepada empat anak itu.
Beckham turut membandingkan skuad semasa dengan pasukan yang pernah disertainya serta menegaskan bahawa beliau dan rakan sepasukannya dahulu lebih menghormati penyokong berbanding segelintir pemain masa kini.
“Saya bercakap tentang kelakuan segelintir pemain. Bila anda memakai jersi yang mempunyai logo United, anda mewakilinya dengan penuh rasa tanggungjawab.
“Saya melihat banyak situasi di mana pemain tidak berkelakuan yang sepatutnya. Dahulu, kami berada dalam satu pasukan yang sangat berdisiplin. Kami faham apa maknanya bermain untuk United dan erti di sebalik logo itu.
“Ke mana sahaja United pergi sama ada di Eropah atau Asia, kami sentiasa menghormati penyokong dan kami menghargai mereka kerana hadir, membelanjakan wang, mahukan tandatangan dan bergambar.
“Saya tidak nampak sikap itu sekarang dan tidak tujukan kepada semua pemain tetapi ada satu dua orang yang tidak menunjukkan rasa hormat dan sememangnya saya tidak suka dengan kelakuan tersebut,” katanya. – Agensi
















