Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang bekas kakitangan bahagian sokongan komersial sebuah stesen televisyen berbayar pengsan di kandang tertuduh ketika prosiding di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas pertuduhan ke-30 daripada 743 keseluruhan pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Tertuduh, Nora Idayu Jaafar berdepan dengan ratusan pertuduhan melibatkan dakwaan mengubah suai kandungan sistem data milik syarikat berkenaan dengan cara menukar status akaun pelanggan biasa kepada akaun korporat tanpa kebenaran.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kesalahan itu dilakukan tertuduh ketika memegang jawatan sebagai ‘Associate Department’ di Unit Sokongan Komersial, antara tahun 2013 hingga 2020, di pejabat syarikat televisyen berbayar tersebut di Jalan Tun Razak, di sini.

Tindakan itu didakwa melanggar Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tujuh tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, prosiding mahkamah menjadi kecoh seketika apabila tertuduh secara tiba-tiba rebah dan pengsan sebaik sahaja pertuduhan ke-30 dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail.

Prosiding kemudiannya ditangguhkan sementara untuk memberikan rawatan kepada tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Abdul Rahman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim Norma kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 terhadap tertuduh bersama syarat tambahan iaitu melapor diri di balai polis berdekatan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah turut menetapkan 26 Jun ini untuk meneruskan prosiding bagi membacakan baki 713 pertuduhan terhadap tertuduh. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Pergh…kaya kaya..hidup mau senang, mati belum tentu senang..jgn dilanggar lori najis sudah.

Comments are closed.