Rohaizad menunjukkan gambar rampasan bunga ganja dalam bagasi tanpa nama pemilik yang dirampas pihaknya di LTAPP.

BUTTERWORTH – Dua cubaan menyeludup masuk bunga ganja bernilai RM1.8 juta ke negara ini menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan Pusat Mel dan Kurier (PMK) Pos Malaysia Berhad berjaya digagalkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang.

Pengarah Kastam negeri, Rohaizad Ali berkata,  rampasan pertama membabitkan penemuan sebuah bagasi tanpa pengenalan di Karusel Bagasi A di LTAPP pukul 11.35 pagi pada 4 Mac lalu.

“Pemeriksaan oleh pegawai dari Pejabat Kastam Cawangan Pemeriksaan Penumpang (CPP) mendapati sebanyak 29 bungkusan lutsinar berisi tumbuhan kering disyaki bunga ganja seberat 16,210 gram bernilai RM1.58 juta.

“Semakan lanjut mendapati bagasi terbabit dipercayai berasal dari penerbangan negara China dan pihak berkuasa kini sedang giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pemilik bagasi tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Stor Penguatkuasaan JKDM Bagan Jermal di sini hari ini.

Rampasan kedua membabitkan bungkusan berisi bunga ganja dipulangkan semula dari United Kingdom yang dipulangkan semula ke Malaysia.

Tambah Rohaizad, bagi rampasan di PMK Pos Malaysu Berhad pula, ia terbongkar selepas sepasukan pegawai dari Unit Narkotik Kastam menjalankan pemeriksaan dengan bantuan Anjing Pengesan Dadah (APD) pada 16 April lalu.

“Pemeriksaan pukul 1 tengah hari itu berjaya menemui empat bungkusan mengandungi tumbuhan kering disyaki bunga ganja seberat 2,236 gram bernilai RM219,128.

“Parcel terbabit telah diikrar sebagai mengandungi sembilan unit buku komik dan difahamkan telah dieksport ke United Kingdom sebelum dipulangkan semula ke Malaysia dengan status sebagai Returned Parcel.

“Kedua-dua kes kini disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast