Pihak pengurusan menelefon talian kecemasan dan memanggil ambulans selepas dimaklumkan terdapat kemungkinan mangsa mengalami kecederaan lain.

MELAKA – Pengurusan Taman Tema Melaka Wonderland masih menunggu butiran lanjut berhubung keadaan dua pengunjung wanita yang terlibat dalam insiden ketika menggunakan gelongsor Tornado Chaser, Sabtu lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Wonderland Theme Park & Resort, Seow Cheng Swee, berkata, ia selepas kemalangan berkenaan dipercayai ditularkan mangsa di media sosial termasuk menerusi platform Threads.

“Insiden berlaku kira-kira jam 2.30 petang Sabtu lalu apabila kedua-dua pengunjung wanita anggaran berusia 30-an hingga 40-an itu dipercayai tergelincir daripada pelampung ketika berada di dalam terowong gelongsor Tornado Chaser.

“Petugas kemudian menenangkan mangsa sementara mengambil kit rawatan kecemasan dan berikan bantuan awal sewajarnya yang diperlukan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di hari ini.

Menurutnya, kedua-dua pengunjung kemudian dibantu keluar dari kawasan gelongsor, menggunakan kerusi roda.

“Pihak pengurusan kemudiannya menelefon talian kecemasan untuk mendapatkan ambulans selepas dimaklumkan terdapat kemungkinan kecederaan lain.

“Selepas ambulans membawa mangsa, kami turut bertanyakan kepada salah seorang pengunjung terlibat sama ada memerlukan sebarang bantuan lain dari masa ke semasa sekiranya perlu,” tambahnya.

Bagaimanapun katanya, perkembangan mengenai keadaan kedua-dua pengunjung kemudiannya diketahui pihak pengurusan menerusi komen dan hantaran di media sosial.

Hari ini, tular di media sosial individu menggunakan nama Nor Fazlin Badrol Hisham yang mendakwa mangsa kejadian itu selepas memuat naik hantaran di Facebook dengan menyatakan beliau bersama saudaranya, Razita Abd Razak, masih berada di hospital selepas mengalami kecederaan di kepala.

Dalam hantaran itu, Nor Fazlin mendakwa mengalami darah beku dan pembengkakan otak serta masih menunggu pihak pengurusan menghubungi bagi mendapatkan maklumat mengenai keadaan mereka.

Tangkap layar yang tular

Dia turut mendakwa menerima panggilan daripada pihak pengurusan, namun tidak memberikan kenyataan ketika itu kerana mendakwa masih belum stabil.

Mengulas dakwaan itu, Seow berkata, pihaknya cuba mendapatkan maklumat lanjut daripada mangsa namun sehingga tiada butiran lanjut diberikan pihak terlibat bagi membolehkan tindakan sewajarnya membantu mereka.

“Kita masih lagi menunggu mangsa memberikan butiran diri termasuk wad dan hospital dirawat tetapi sehingga kini belum diterima sehinggalah tiba-tiba kejadian tular di media sosial,” katanya kesal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here