Punca kematian adalah kecederaan pada dada akibat jatuh dari tempat tinggi.

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan penemuan mayat lelaki di sebuah tapak pembinaan di Bangsar petang semalam merupakan jasad warga Britain yang dilaporkan hilang bulan lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata identiti mangsa dikenal pasti oleh bapa saudaranya melalui pengecaman tatu pada tubuh mangsa selepas proses bedah siasat selesai dijalankan di Jabatan Forensik, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), pagi tadi.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah kecederaan pada dada akibat jatuh dari tempat tinggi. Tiada unsur jenayah ditemui di lokasi kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Difahamkan, kehadiran keluarga mangsa ke Malaysia hari ini bagi proses pengecaman membantu mengesahkan identiti mangsa secara rasmi.

Mangsa yang dikenali sebagai Jordan Michael John Johnson-Doyle, 25 ditemui dalam keadaan terlentang di bahagian lif aras bawah sebuah tapak pembinaan di Bangsar Hill Park kira-kira jam 4.30 petang, semalam.

MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan, mangsa sedang mengembara solo ke Asia Tenggara, dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat di Bangsar pada 27 Mei lepas.

Kehilangannya disedari ahli keluarga yang gagal menghubunginya selain aktiviti menerusi media sosialnya tidak lagi aktif.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Warga UK hilang: Polis rakam keterangan dua individu

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast