KUALA LUMPUR – Cadangan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil cuti susulan satu perbicaraan saman sivil yang difailkan terhadapnya adalah tidak berasas dan bermotifkan gangguan politik.
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Klang, Mohamad Shahrul Adnan berkata, kes membabitkan Presiden PKR itu dikategorikan sebagai sivil bukannya jenayah.
Sehubungan itu katanya, tiada keperluan untuk Anwar bercuti.
“Perdana Menteri tidak menghadapi sebarang pertuduhan jenayah dan beliau kekal menjalankan tugas dengan penuh komitmen serta integriti.
“Adalah penting untuk memahami perbezaan antara saman sivil oleh individu dan kes jenayah yang dibawa oleh pendakwa raya. Dalam kes ini, tiada asas undang-undang yang mewajibkan atau menyokong gesaan supaya Perdana Menteri bercuti,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata demikian merujuk kenyataan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari baru-baru ini yang menuntut Anwar bercuti sekali gus memberikan mandat kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mengemudi negara.
Ia ekoran kes saman yang difailkan oleh bekas pembantu penyelidik Anwar, Yusoff Rawther, berhubung dakwaan serangan seksual yang berlaku tujuh tahun lalu.
Mengulas lanjut Mohamad Shahrul berkata, cadangan tersebut mencerminkan kefahaman undang-undang Pas yang lemah sekali gus membuktikan parti tersebut cenderung
mempolitikkan pelbagai isu termasuk urusan mahkamah.
“Angkatan Muda Keadilan Klang berpandangan kenyataan Pas hanyalah percubaan ‘desperado’ untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada kelemahan mereka sendiri, termasuk kegagalan pentadbiran di negeri-negeri yang mereka kuasai serta ketiadaan agenda pembangkang yang konstruktif di peringkat nasional,”katanya lagi.
Sehubungan itu beliau menggesa supaya Pas menghormati perundangan yang sedang berjalan dan tidak mencampuradukkan urusan mahkamah dengan percaturan politik jangka pendek.
Rabu lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Anwar untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan, termasuk sama ada Perdana Menteri itu mempunyai kekebalan daripada tindakan undang-undang.
Persoalan undang-undang itu berkaitan dengan saman yang difailkan oleh bekas pembantu penyelidik Anwar, Yusoff Rawther, berhubung dakwaan serangan seksual yang berlaku tujuh tahun lalu.
Hakim Roz Mawar Rozain membuat keputusan itu selepas mendapati tiada satu pun daripada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan (PP) yang dikemukakan oleh pasukan pembelaan Anwar menimbulkan sebarang persoalan undang-undang perlembagaan yang nyata, substantif atau boleh diadili, yang memerlukan penentuan oleh Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 128(2) PP atau Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.- MalahsiaGazette
















