Gambar hiasan.

PASIR GUDANG – Seorang jurukimpal maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar belakang sebuah treler di Jalan Gudang, Pelabuhan Johor di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kemalangan dipercayai berlaku kira-kira pukul 8.30 malam, ketika mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun dalam perjalanan ke tempat kerja.

“Siasatan mendapati, ketika kejadian, mangsa sedang menunggang motosikal jenis Yamaha Y16ZR dari arah Kafe Johor Port menuju ke tempat kerjanya di Sapura Offshore.

“Bagaimanapun apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar bahagian belakang treler yang diletakkan di hadapan sebuah gudang dalam kawasan Pelabuhan Johor,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian boleh menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu siasatan dengan menghubungi talian 07-3864222.

“Polis turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika berada di jalan raya dan mematuhi segala peraturan serta kod lalu lintas yang ditetapkan,” tambahnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast