Zahari menunjukkan hasil nanas yang dihasilkan di negeri ini dan produktivitinya akan ditingkatkan selepas mandapat suntikan dana KPKM.

JOHOR BAHRU – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyalurkan peruntukan RM23.4 juta bagi pelaksanaan Program Mengoptimumkan Penggunaan Tanah di negeri ini tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Zahari Sarip berkata, program itu dilaksanakan secara kerjasama antara KPKM dan kerajaan negeri.

Beliau memberitahu, jumlah itu merangkumi peruntukan RM9.25 juta bagi Fasa 1 yang dilaksanakan bermula Februari lalu dan RM14.15 juta bagi Fasa 2 bermula bulan ini.

“Peruntukan ini akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi melaksanakan 20 program/projek berimpak tinggi untuk menyokong Agenda Keterjaminan Makanan Negeri Johor.

“Ia meliputi usaha-usaha untuk memperkasakan amalan pertanian moden, merancakkan industri asas tani dan industri akuakultur serta meningkatkan pengeluaran industri tenusu menerusi projek Jemaluang Dairy Valley (JDV).

“Ini termasuk menaik taraf Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), pembangunan industri nanas dan sawah padi, menaik taraf fasiliti pasar tani kekal dan pembangunan agropelancongan serta memperkasa belia tani di Johor,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, kerajaan negeri memberikan komitmen penuh untuk memastikan setiap program atau projek itu dilaksana dengan jaya dalam usaha memartabatkan lagi sektor agromakanan di Johor dan Malaysia amnya.

Usaha itu diyakini akan menghasilkan limpahan manfaat yang dapat dinikmati oleh seluruh Bangsa Johor, merentas setiap lapisan masyarakat dan pelosok negeri.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast