DILI – Usaha gigih diplomatik akhirnya membuahkan hasil apabila Batik Air melancarkan penerbangan sulung dari Kuala Lumpur ke Dili, Timor-Leste semalam yang menandakan satu pencapaian besar dalam kerjasama dua hala antara kedua-dua negara.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy, laluan itu tidak akan menjadi kenyataan tanpa usaha luar biasa Duta Besar Malaysia ke Timor-Leste, Datuk Amarjit Singh Sarjit Singh.

Amarjit memainkan peranan penting menghidupkan semula inisiatif itu selepas ia terhenti semasa pandemik Covid-19, katanya.
“Segala-galanya bermula ketika pandemik apabila Batik Air menjalankan beberapa penerbangan sewaan antara Dili dan Kuala Lumpur.
“Namun perkhidmatan tersebut terhenti. Datuk Amarjit tidak berputus asa sebaliknya beliau berhubung secara langsung dengan kementerian berkaitan di kedua-dua negara dan turut menulis surat sokongan kepada saya.
“Itulah kata-kata dan tindakan beliau yang menjadikan penerbangan berjadual ini satu realiti,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.
Chandran berkata, ketika tiada perjanjian rasmi perkhidmatan udara antara Malaysia dan Timor-Leste, Amarjit mengambil inisiatif memacu perbincangan dua hala serta mempercepatkan proses mendapatkan kelulusan dari pihak berkuasa penerbangan kedua-dua negara.
Tambah beliau, tindak balas yang pantas daripada Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pengangkutan dan Komunikasi Timor-Leste telah mempercepatkan kelulusan laluan penerbangan ini.
“Batik Air merakamkan penghargaan kepada kerajaan Timor-Leste terutamanya Kementerian Luar Negeri dan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Alam Sekitar serta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam dan Kastam atas sokongan menyeluruh mereka.
“Ini bukan sekadar laluan baharu, ini adalah jambatan baharu antara dua negara serumpun di Asia Tenggara,”ujarnya.
Perkhidmatan itu dijangka membuka lebih banyak peluang pelaburan, pendidikan, dan pelancongan selaras dengan hasrat Timor-Leste untuk menjadi anggota penuh ASEAN.
Dengan penerbangan terus ke Kuala Lumpur, penumpang dari Dili kini boleh mengakses lebih 60 destinasi di seluruh dunia melalui rangkaian Batik Air dan rakan kod perkongsiannya seperti Qatar Airways, Emirates, Etihad dan Turkish Airlines.
“Kami di Batik Air melihat ini bukan sahaja sebagai perluasan perkhidmatan, tetapi sebagai satu sumbangan jangka panjang kepada pertumbuhan Timor-Leste,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
















