Tangkap layar video tular memaparkan seorang lelaki menendang kereta milik seorang lelaki lain semasa bertengkar di Taman Ungku Tun Aminah, Johor Bahru kelmarin.

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga Singapura ditahan selepas dipercayai terlibat pertengkaran dan merosakkan kereta milik seorang lelaki tempatan di Taman Ungku Tun Aminah, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, polis menerima laporan berhubung perkara tersebut daripada seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun pada pukul 3.01 petang hari yang sama.

“Hasil siasatan, polis turut mendapati video berhubung perkara tersebut telah dimuat naik dalam Facebook atas nama pemilik akaun Vicky Sing melalui pautan yang memaparkan dua lelaki bertengkar di tepi jalan.

“Berdasarkan laporan, ketika lelaki tersebut sedang memandu kereta jenis BMW di Taman Ungku Tun Aminah, sebuah kereta Toyota Altis dengan nombor pendaftaran Singapura dipandu seorang warga Singapura berusia 40 tahun membunyikan hon dan mendakwa laluannya dihalang kereta BMW tersebut.

“Kemudian, terjadi pertengkaran mulut antara mereka dan suspek telah bertindak menendang kereta mangsa sehingga menyebabkan kerosakan. Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dialami mangsa,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, bertindak atas maklumat polis menahan suspek di daerah ini dan membuat beberapa rampasan pada pukul 6.20 petang semalam.

asil semakan ujarnya, mendapati suspek tidak memiliki rekod lampau dan ujian saringan air kencingnya turut didapati negatif.

Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 426 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat.

Kes juga katanya, disiasat bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu mengeluarkan perkataan atau isyarat yang dimaksudkan mengaibkan kehormatan seseorang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast