KUALA LUMPUR – Bekas pemain kebangsaan, Hardi Jaafar membuat permohonan maaf secara terbuka atas kritikannya mengenai kuota 15 import dibenarkan yang dibenarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk kempen 2024/2025.
Menerusi hantaran terbaharu di Facebook miliknya, Hardi menegaskan kata-katanya adalah ungkapan ikhlas dari seseorang yang sangat mencintai negara ini sambil menyatakan permohonan maafnya.
“Luahan saya hanyalah kata-kata yang ikhlas dari seseorang yang sangat mencintai Malaysia.
“Sekali lagi, saya memohon maaf jika kata-kata saya menyakitkan hati sesiapa. Sebenarnya, ia bukanlah ditujukan kepada mana-mana pihak tertentu,” katanya.
Hardi berkata, jika ada pihak yang terasa hati dengan kenyataannya, bukanlah niat pemain tengah itu untuk menyakitkan sesiapa, mahupun ditujukan kepada mana-mana pihak tertentu.
“Kata-kata saya mungkin kedengaran kasar, tetapi ia bukanlah bermaksud seperti yang mungkin ditafsirkan oleh orang lain.
“Pada hari yang mulia ini, saya dengan tulus memohon keampunan sekali lagi. Selamat Hari Raya Aidiladha,” jelasnya.
Sebelum itu, Hardi yang kini sudah bersara dari dunia bola sepak menegaskan bahawa pelaksaan 15 import itu hanya memberi kesan buruk kepada pemain lokal susulan kelab akan cenderung untuk menggunakan tonggak luar.
Hardi Jaafar yang kini berusia 46 tahun berkenaan juga mengingatkan bahawa terlebih berbelanja pemain import juga menjadi punca beberapa kelab ‘lenyap’ daripada saingan Liga Super seperti Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Perak FC.
Pemain yang beraksi di posisi tengah itu juga mengingatkan bahawa saingan domestik masa kini seolah-olah dijajah oleh bintang import sehingga banyak menutup peluang bakat tempatan untuk menyerlah.
“Liga Malaysia (Liga M) sekarang ini sudah dijajah oleh pemain luar (import). Bagi pasukan yang ada duit, memang bagus untuk mereka, tapi yang tak berapa ada duit, memang jahanam,” katanya. – MalaysiaGazette

















minat pemubat bola sepak tempatan semakin nazak. Apakah berpunca dari JDT?