Datuk Amarjit Singh Gill

KUALA LUMPUR – Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menyambut baik dan amat menghargai keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) untuk memberikan sokongan kepada jaguh berbasikal negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang bagi menerajui misi negara dalam usaha melayakkan diri dan beraksi pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) bagi acara keirin dan pecut.

Presiden PKBM Datuk Amarjit Singh Gill berkata keputusan berkenaan memberikan kejelasan yang amat diperlukan serta membuka laluan kepada Azizulhasni untuk memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap kempen kelayakan Olimpik yang mencabar bermula dengan Kejohanan Trek Dunia UCI 2026 di Shanghai pada Oktober ini.

Beliau berkata PKBM sebenarnya telah memulakan persiapan terperinci bagi laluan kelayakan LA28 lebih awal sebelum keputusan terbaharu ini dibuat.

“Pada 7 Julai 2026, PKBM telah mengadakan perbincangan terperinci bersama-sama MSN dengan kehadiran Ketua Pengarah MSN serta pegawai-pegawai kanan bagi membincangkan laluan kelayakan ke LA28, termasuk syarat kelayakan dan pertandingan antarabangsa yang perlu disertai pelumba negara untuk mengumpul mata ranking Olimpik, dengan matlamat memaksimumkan jumlah pelumba Malaysia yang dapat melayakkan diri.

“Perkara ini penting kerana proses kelayakan LA28 memerlukan perancangan rapi sejak dari awal, termasuk pemahaman yang jelas tentang laluan pertandingan serta bentuk sokongan yang diperlukan sepanjang tempoh kelayakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan itu, pada 10 Ogos, PKBM secara rasmi telah menulis kepada Menteri Belia dan Sukan serta MSN bagi menyatakan pendirian bahawa PKBM mahu Azizulhasni terus mewakili Malaysia dalam misi menuju LA28 dan memberikan sokongan penuh terhadap usaha beliau.

“Kami amat gembira kerajaan dan MSN telah memberikan maklum balas yang positif. Ini merupakan satu keputusan penting bukan sahaja untuk Azizulhasni, tetapi juga bagi sukan berbasikal Malaysia dan aspirasi negara di LA28,” katanya.

Dalam surat bertarikh 30 Ogos 2026, MSN mengesahkan sokongan terhadap Azizulhasni sebagai antara pelumba trek negara yang akan menggalas tanggungjawab mengumpul mata kelayakan Olimpik LA28 bersama dengan atlet-atlet di bawah program Road to Gold (RTG) dan Podium MSN.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari turut mengarahkan MSN memastikan kesinambungan proses kelayakan atlet berbasikal trek negara ke LA28.

“PKBM amat menghargai kepimpinan dan sokongan yang ditunjukkan oleh Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq, serta MSN dalam mencapai keputusan tersebut,” katanya.

Beliau berkata kembalinya Azizulhasni untuk memainkan peranan utama dalam proses kelayakan Olimpik adalah berdasarkan prestasi semasa dan pencapaian cemerlangnya, manakala pengalaman luas beliau juga amat bernilai dalam membimbing serta memberikan inspirasi kepada pelumba-pelumba negara lain yang turut mengejar kelayakan ke LA28.

Keputusan itu juga telah membuka laluan yang lebih jelas bagi misi Azizulhasni ke LA28, khususnya dari segi sokongan prestasi tinggi, program latihan dan penyertaan dalam pertandingan yang diperlukan sepanjang proses kelayakan Olimpik.

“Azizulhasni telah memberikan begitu banyak (sumbangan) kepada sukan Malaysia dan beliau diperlukan oleh Malaysia untuk menggalas cabaran dan tugas penting ini untuk negara. Beliau terus membuktikan bahawa beliau masih mampu bersaing dengan jayanya pada peringkat tertinggi.

“Pengalaman, komitmen dan mentaliti juara yang dimilikinya kekal sebagai aset besar kepada program berbasikal trek negara,” kata Amarjit.

Beliau berkata laluan ke LA28 bukan mudah dan memerlukan usaha bersepadu dengan tumpuan kini diberikan kepada proses kelayakan serta persiapan terbaik bagi membawa cabaran Malaysia pada temasya berkenaan. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here