KUALA LUMPUR – Kehadiran pemain warisan baharu memberi impak besar kepada Malaysia apabila menundukkan Vietnam 4-0 dalam saingan Kelayakan Piala Asia 2027.
Kemenangan bergaya ke atas Vietnam yang menduduki ranking 112 dunia menamat badi 10 tahun tidak pernah menang ke pelawat itu.
Kali terakhir Malaysia menewaskan Vietnam adalah pada 2014, sebelum mengalami tujuh kekalahan dan satu seri.
Dalam aksi malam ini, Malaysia banyak melakukan percubaan berbahaya pada separuh masa pertama namun gol sulung dibuka hanya beberapa minit selepas separuh masa kedua bermula, menerusi pemain warisan, Joao Figueiredo pada minit ke-49.
Jaringan kedua hadir sepuluh minit kemudian menerusi seorang lagi pemain warisan, Rodrigo Holgado yang menyudahkan hantaran cantik Arif Aiman.
Dua lagi gol Harimau Malaya adalah hasil jaringan Corbin Ong, juga daripada hantaran Arif, pada minit ke-67 dan Dion Cools pada minit ke-88 untuk melengkap malam gemilang skuad kendalian Peter Cklamovski. – MalaysiaGazette
















