KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas menggesa ahli-ahlinya khususnya yang berada di sekitar Ipoh, Perak tampil menderma darah di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi membantu mangsa-mangsa kemalangan bas melibatkan penuntut Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) yang dirawat di hospital tersebut.
Ketua Sektor Tanggungjawab Sosial & Khidmat Masyarakat Pemuda Pas, Mohamad Kamal Mohamed berkata, mereka boleh berbuat demikian mengikut hari dan masa yang ditetapkan oleh HRPB iaitu pada Isnin hingga Khamis bermula pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari dan 2 petang hingga 9 malam.
Selain itu, katanya, ahli-ahli Pemuda Pas juga boleh menderma darah di hospital berkenaan pada hari Jumaat bermula pukul 8 pagi hingga 12.15 tengah hari dan 2.45 petang hingga 9 malam.
Dalam masa sama, beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk tampil ke hadapan membantu mangsa-mangsa yang masih menerima rawatan di hospital.
“Sesungguhnya darah yang diderma ini mampu menjadi penyelamat nyawa saudara kita yang sedang kritikal berjuang untuk terus hidup.
“Bahkan, Islam mengajarkan kita bahawa menyelamatkan satu nyawa, seakan-akan menyelamatkan seluruh umat manusia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan HRPB memerlukan bekalan darah untuk menampung keperluan pesakit yang terlibat dalam kemalangan bas yang telah mengorbankan 15 penuntut UPSI, kelmarin.
Lokasi derma darah adalah di Bilik Pendermaan Darah HRPB di Bangunan Jabatan Perubatan Transfusi yang terletak bersebelahan pusat rawatan harian hospital berkenaan.
Sementara itu, Mohamad Kamal berharap tragedi melibatkan penuntut UPSI terbabit menjadi pengajaran kepada semua pihak berkenaan kepentingan keselamatan jalan raya dan semangat tolong-menolong sesama rakyat.
“Kami berdoa agar Allah SWT memberikan kekuatan kepada keluarga mangsa yang terkorban dan menyembuhkan mereka yang tercedera dengan segera,” katanya. – MalaysiaGazette
















