BERA – Mayat isteri anggota tentera yang hanyut dibawa arus deras di Sungai Triang dalam insiden 9 Jun lalu, ditemukan pagi tadi.
Ketua Polis Bera Deputi Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, mayat Sakirah Akob, 31, ditemukan dalam keadaan tetiarap di tepi sungai oleh orang awam yang berjoging pada jam 8.12 pagi tadi.
Mayat suri rumah itu ditemui pada jarak kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi dia dihanyutkan, selepas hari ketiga misi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan hari ini.
”Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Bera untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam kejadian Isnin lalu, mangsa dihanyutkan arus Sungai Triang, Bera dekat sini setelah kereta yang diparkir di tepi sungai bergerak lalu terjunam ke dalam sungai.
Semasa kejadian, mangsa dan anaknya berada di dalam kereta, sempat menyerahkan bayi perempuan kepada suaminya yang memancing dengan jarak 8 meter dari tempat kereta di tepi sungai. – MalaysiaGazette
Wanita sempat hulur bayi kepada suami sebelum hanyut dalam sungai
















