MELAKA – Pelajar sekolah yang menjadi suspek utama pembunuhan ibu dan abangnya di rumah mereka di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai Melaka awal pagi semalam direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini.
Perintah reman terhadap suspek lelaki berusia 17 tahun itu dikeluarkan Majistret N. Sivashangari sehingga 19 Jun ini bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
ARTIKEL BERKAITAN
Terdahulu, suspek yang memakai pakaian lokap berwarna ungu dibawa ke Kompleks Mahkamah Ayer Keroh kira-kira pukul 9 pagi sebelum keluar menaiki van polis hampir tiga jam kemudian.
Usaha petugas media yang memenuhi ruang mahkamah seawal 8.30 pagi untuk merakamkan suspek tidak berhasil ekoran dikawal ketat polis memandangkan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu adalah pesalah bawah umur.
Semalam MalaysiaGazette melaporkan kes pembunuhan yang menggemparkan negara apabila dua beranak itu ditemukan berlumuran darah di ruang tamu rumah setingkat berkenaan dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi.
Mangsa guru sekolah, 51, dan anak sulungnya, 21, maut dengan beberapa kesan tikaman di badan dan leher manakala anak bongsunya, 13, turut cedera parah apabila ditikam suspek menggunakan pisau lipat berukuran kira-kira 20 sentimeter.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar turut mengesahkan faktor tekanan dan dendam terpendam daripada ibu dan abang suspek yang sering memaksanya belajar dipercayai menjadi motif utama dua beranak itu dibunuh kejam.
Remaja 17 tahun itu ditahan di luar garaj rumah selepas berada keadaan bingung ketika polis tiba dan hasil pemeriksaan menjumpai pisau yang dipercayai digunakan di dalam beg sekolahnya. – MalaysiaGazette
















