Logo Polis Diraja Malaysia

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lelaki warga Bangladesh akan didakwa atas pertuduhan merempuh sebuah kereta sebelum melanggar seorang pejalan kaki dalam kejadian di Jalan Ipoh menghala ke Bulatan Kepong di sini pada 13 Jun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pendakwaan ke atas lelaki berusia 39 tahun itu dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menyebabkan kematian akibat kemalangan jalan raya.

“Kes terbabit telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada jam 8 pagi tadi di Wisma Chase Perdana, Kuala Lumpur.

“Berikutan itu, kita telah mendapat arahan untuk tuduh Orang Kena Tahan (OKT) pada pagi ini di Mahkamah Trafik di sini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, mayat seorang pejalan kaki yang jatuh ke dalam sungai selepas dirempuh kereta dalam nahas di Jalan Ipoh menghala ke Bulatan Kepong pada 14 Jun lalu.

Kejadian itu susulan sebuah kereta jenis Nissan Sylphy dipandu lelaki warga Bangladesh berusia 39 tahun dari arah PPR Batu Muda dipercayai hilang kawalan sekitar jam 11.45 pagi, 13 Jun lalu.

Sebelum itu, kereta terbabit merempuh bahagian hadapan kanan Toyota Camry dipandu wanita warga Vietnam berusia 43 tahun dari arah Batu Kentomen.

Kereta Nissan itu kemudiannya merempuh seorang pejalan kaki sebelum terjunam ke bawah jambatan dan tersangkut pada struktur konkrit serta paip besi di kawasan berkenaan.

Pemandu Nissan itu mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan.

Sementara itu, siasatan lanjut mendapati kenderaan dipandu warga Bangladesh terbabit adalah bukan miliknya.

Mohd Zamzuri dilaporkan berkata pihaknya sedang mengesan pemilik sebenar kenderaan berkenaan untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast