Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan ketika sidang media di Pangkalan Udara Kuantan hari ini.

KUANTAN – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kini fasa rundingan menjalin kerjasama dengan Tentera Udara Kuwait berhubung pemindahan pesawat pejuang terpakai jenis F/A-18C/D Hornet kepada Malaysia.

Panglima Tentera Udara, Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan berkata, kerjasama antara kedua-dua negara dilakukan secara rasmi dan dilihat perkembangan positif.

“Setakat ini kita telah pun menubuhkan satu komuniti khas dalam Kementerian Pertahanan dan juga dengan kerajaan Kuwait serta Tentera Udara Kuwait.

“Kebenaran telah diberikan oleh pihak mereka untuk kita adakan perbincangan yang lebih lanjut dan mendalam. Jadi, proses itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya.

Mohd Asghar Khan berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Perbarisan Hari Ulang Tahun (HUT) ke-67 TUDM di Pangkalan Udara Kuantan di sini hari ini.

Menurutnya, antara faktor yang menjadi pertimbangan ketika ini ialah keperluan Tentera Udara Kuwait untuk menerima pesawat pejuang baharu Super Hornet F/A-18 yang dibeli daripada Amerika Syarikat (AS).

Menurutnya, proses pemindahan pesawat kepada Malaysia akan berlaku apabila Kuwait mula menerima pesawat Super Hornet yang baharu itu.

Terdahulu pada 1 Februari lalu,Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pembelian 30 pesawat pejuang terpakai jenis F/A-18C D Hornet dari Kuwait untuk kegunaan TUDM dijangka dimuktamadkan tahun ini.

Difahamkan proses perolehan kini di peringkat akhir termasuk dokumentasi yang juga membabitkan Amerika selaku pembuat asal pesawat berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast