KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan menyifatkan tindakan sesetengah pihak mengaitkan beliau dengan ibu kepada salah seorang daripada murid sebuah sekolah rendah di Terengganu yang bergaduh adalah tidak bertanggungjawab dan berniat jahat.
Fadhlina Sidek berkata, beliau tidak pernah mengenali individu berkenaan.
“Saya menyelar sekeras-kerasnya tindakan sesetengah pihak yang cuba mempolitikkan isu pergaduhan yang melibatkan dua orang murid di sebuah sekolah di Terengganu baru-baru ini.
“Fitnah mengaitkan ibu salah seorang ibu kepada murid terlibat dengan saya adalah adalah tidak bertanggungjawab dan berniat jahat,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut beliau, Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) telah mengambil tindakan ke atas kes ini mengikut
prosedur standard operasi (SOP) Buli dan Salah Laku yang sedang berkuatkuasa.
Sebagai langkah susulan, beliau sudah mengarahkan Unit Integriti Kementerian untuk melakukan siasatan lanjut.
“Saya mengikuti rapat perkembangan isu ini dan mahu ia diselesaikan segera. KPM tidak berkompromi dengan buli dan perbuatan salah laku lain. Tindakan tegas mesti diambil ke atas sesiapa sahaja yang bersalah.
“Semua institusi pendidikan mesti dipastikan berada dalam keadaan selamat demi kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga sekolah.
Baru-baru ini tular kisah seorang murid perempuan Tahun 6 dipijak di kepala dan ditendang di perut oleh rakan lelaki tahun yang sama.
Akibat, kejadian itu, darah ditemui dalam urin dan murid tersebut ditahan di hospital untuk pemantauan doktor.
Kejadian buli itu didakwa sudah berulang kali berlaku walaupun ibu bapa kepada murid perempuan berkenaan membuat aduan kepada sekolah.
Apabila kes berlarutan, masalah itu dikemukakan kepada pejabat Pendidikan daerah dan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) namun isu buli yang menimpa anaknya didakwa tidak ditangani. – MalaysiaGazette
















