KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) melaksanakan Inisiatif Kawalan Inflasi Perubatan (RESET) yang menyasarkan pembaharuan menyeluruh dalam sektor penjagaan kesihatan negara khususnya dalam menangani peningkatan kos rawatan yang membebankan rakyat.
Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, pelaksanaan RESET itu mendapat sokongan kukuh daripada Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan serta pihak berkepentingan lain dengan matlamat mewujudkan ekosistem kesihatan yang lebih cekap, inklusif dan mampan.
Katanya, inisiatif itu memberi fokus kepada lima komponen utama iaitu penambahbaikan insurans kesihatan dan takaful, peningkatan ketelusan harga, pendigitalan sistem kesihatan, pengembangan pilihan rawatan kos efektif serta penambahbaikan mekanisme pembayaran.
“Kejayaan RESET bergantung kepada kerjasama semua pihak dalam memperkukuh sistem kesihatan negara. Kos penjagaan kesihatan yang tinggi tidak boleh ditangani secara bersendirian, sebaliknya memerlukan pendekatan menyeluruh yang melibatkan pembaharuan dasar dan penggunaan teknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Sasana Simposium 2025 di Sasana Kijang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Rasheed turut berkongsi kemajuan inisiatif Penghijauan Rantaian Nilai (GVC) yang dilaksanakan sejak 2022 sebagai sebahagian daripada agenda hijau BNM.
Menurutnya, Malaysia yang kini mempengerusikan ASEAN 2025, turut mengambil peranan aktif dalam menyokong usaha serantau ke arah ekonomi yang lebih mampan dan berdaya tahan terhadap perubahan iklim.
Katanya, Makmal Inovasi Kewangan Iklim (CFIL), yang ditubuhkan di bawah Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3), kini mula beroperasi sebagai platform kerjasama untuk membangunkan penyelesaian kewangan bagi projek iklim dan pemuliharaan alam sekitar.
Sementara itu, sesi panel bertajuk Rising Cost, Rising Stakes: Expediting Reforms to Address Medical Inflation akan menampilkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican; Ahli Ekonomi Kanan Bank Dunia, Akash Mohapatra serta beliau sendiri.
Perbincangan itu dijangka mengetengahkan cabaran utama dalam sektor kesihatan serta kaedah terbaik melaksanakan pembaharuan melalui RESET.
Selain itu, sesi panel Building Climate Journey: How Wide Ranging is the Funding Mechanism akan membincangkan secara lanjut peranan CFIL dan strategi pembiayaan mampan di Malaysia,” katanya.
Antara topik lain yang turut dibincangkan dalam Sasana Simposium termasuk literasi kewangan, sistem pembayaran, aset digital, kestabilan monetari dan penipuan kewangan. – MalaysiaGazette

















