KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang membunuh ibu bapanya di Kampung Sungai Penchala, tahun lalu, dijatuhi hukuman penjara 40 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.
Tertuduh, Afendi Muhammad Agus @ Muhamed Ali, seorang penganggur, kelihatan tenang ketika ditanya Hakim, K Muniandy jika mempunyai sebarang perkara untuk dikatakan sebelum hukuman dijatuhkan
Beliau hanya menjawab: “Tidak ada apa-apa,”.
Hakim sekali lagi bertanya adakah tertuduh pasti tidak ada apa-apa yang hendak dikatakan kepada mahkamah namun Afendi hanya menggelengkan kepala sambil berkata tidak.
Ketika membacakan keputusannya, kata Muniandy, walaupun tertuduh mengakui faham sepenuhnya terhadap pertuduhan dan hukuman bakal diterimanya menegaskan jenayah yang dilakukan terlalu berat dan perlu dihukum dengan tegas.
“Seburuk mana pun alasan, tiada siapa berhak meragut nyawa ibu bapa mereka sendiri. Hukuman ini perlu jadi pengajaran,” katanya.
Afendi dikenakan hukuman penjara 40 tahun iaitu 20 tahun bagi setiap pertuduhan yang berjalan serentak, manakala sebatan sebanyak 12 kali bagi setiap kesalahan dijalankan secara berasingan menjadikan jumlah keseluruhan 24 sebatan.
Peguam bela, Mohd Ruzaini Zulkifli merayu hukuman penjara dikenakan memandangkan peruntukan Seksyen 302 Kanun Keseksaan kini memberikan alternatif kepada hukuman mati.
“Kes berlaku serentak terhadap dua mangsa berlainan, sebab itu anak guam saya berdepan dua pertuduhan,” ujarnya.
Namun Timbalan Pendakwa Raya, Izalina Abdullah menggesa agar hukuman maksimum dikenakan.
“Dua insan yang membesarkan dan melahirkan tertuduh menjadi mangsa. Ini bukan sahaja jenayah terhadap nyawa, tetapi juga pengkhianatan terhadap ikatan kekeluargaan,” katanya.
Kejadian tragis itu berlaku pada 9 Disember 2024 di sebuah rumah di Jalan Penchala Hilir 6, di mana Afendi didakwa membunuh bapanya, Muhammad Agus @ Muhamed Ali Omar, 82 dan ibunya, Darlisma Njatu Saleh, 72, antara jam 7.10 malam hingga 7.20 malam.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, atau hukuman penjara bersama sebatan jika tidak dijatuhkan hukuman gantung. -MalaysiaGazette
















