KUALA LUMPUR – Pasukan Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiba di kediaman individu bergelar Tan Sri hari ini berhubung penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang pada jam 9.09 pagi.
Difahamkan, ini merupakan kali ketiga beliau diambil keterangan untuk membantu siasatan.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, sebuah kenderaan Toyota Vios membawa pegawai penyiasat daripada SPRM dilihat tiba di kawasan kediaman pemegang konsesi lebuhraya yang terletak di Bandar Tasik Selatan itu.
Pada masa sama, kawasan kediaman Tan Sri itu masih dikawal ketat anggota polis bantuan dengan meletakkan kon penghadang.
Terdahulu, SPRM menyita pelbagai aset dianggarkan bernilai RM143 juta dalam siasatan berkaitan penyelewengan sukuk bagi pembinaan lebuh raya di Lembah Klang, melibatkan seorang kenamaan bergelar Tan Sri.
Setakat ini, pasukan penyiasat SPRM sedang mengesan beberapa lagi aset milik individu berkenaan termasuk kenderaan mewah dan hartanah di dalam serta luar negara, antaranya di London dan Switzerland.
Tan Sri terbabit sebelum ini dilaporkan sebagai saksi utama dalam siasatan berhubung rampasan pelbagai aset mewah oleh SPRM.
Antara barangan yang telah disita termasuk wang tunai dalam akaun individu dan syarikat berjumlah RM37.5 juta, hartanah bernilai RM24.5 juta, sembilan kenderaan mewah (RM7.65 juta), jam tangan eksklusif (RM25 juta), barangan kemas dan berlian (RM6 juta), tas tangan berjenama (RM3 juta), minuman keras (RM3 juta) serta empat ekor kuda bernilai RM400,000.
SPRM turut mengesan aset luar negara melebihi RM15 juta serta aktiviti perjudian yang dikaitkan dengan Tan Sri itu, dengan jumlah mencecah RM20 juta. – MalaysiaGazette
















