Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa memberi perhatian serius terhadap Laporan Penjejakan Hak 2025 (Rights Tracker Report 2025) oleh Human Rights Measurement Initiative (HRMI) yang menunjukkan Malaysia mencatatkan markah 67.5 peratus dan berada pada kedudukan ketiga tercorot dalam kalangan negara ASEAN.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, ia kerana kerajaan bertanggungjawab memastikan setiap individu dalam negara mempunyai peluang dan hak mendapatkan pendidikan  berkualiti bukan hanya hak untuk bersekolah.

Jelasnya, rekod berkenaan tidak sejajar dengan keutuhan dan daya maju sistem pendidikan negara sekali gus mendedahkan kelemahan kerajaan dalam menjamin hak pendidikan.

“Pada April tahun ini, dalam Kajian Risiko Global oleh Lloyd’s Register Foundation yang dijalankan setiap dua tahun, hanya 14 peratus rakyat dewasa Malaysia percaya kerajaan benar-benar mengambil berat tentang kebajikan mereka.

“Malaysia berada di kedudukan ketujuh dalam kalangan sembilan negara ASEAN. Digabungkan dengan laporan penjejakan HRMI ini, ia menunjukkan bahawa rakyat semakin hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap prestasi Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Tegasnya, majoriti masyarakat dunia menyedari kepentingan pendidikan namun mungkin ramai yang tidak menyedari pendidikan adalah hak asasi manusia yang dilindungi undang-undang selain menjadi kewajipan negara untuk menjamin penyediaan pendidikan.

“Oleh itu, wakil rakyat sebagai penjaga hak pendidikan, perlu memastikan bahawa hak asasi penduduk di kawasan pilihan raya mereka tidak dinafikan,” tambahnya.

Sehubungan itu, menurutnya, perlindungan hak pendidikan juga harus diperluaskan ke peringkat pendidikan tinggi, pendidikan vokasional, dan pelbagai peringkat lain dengan menyediakan pelbagai pilihan kepada setiap individu.

“Dalam kerangka pendidikan yang adil dan saksama ini, kerajaan mesti segera menyelesaikan masalah pelajar cemerlang SPM yang gagal memasuki program matrikulasi. Apatah lagi, ini adalah janji yang diucapkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tahun lalu.

“Pepatah mengatakan, ‘janji seorang lelaki sejati ibarat kuda pantas sukar dihentikan’ atau ‘seorang raja tidak boleh berjenaka dalam membuat janji’.

“Oleh itu, apabila Perdana Menteri telah berjanji secara terbuka di hadapan ibu bapa seluruh negara, beliau wajib menunaikannya. Tidak wajar menerima pujian dan tepukan semasa membuat janji tetapi kemudian mengabaikan harapan ibu bapa dan menafikan peluang anak-anak untuk menerima pendidikan.

“Semangat keadilan dan kesaksamaan yang dijunjung oleh Kerajaan Madani mesti ditunjukkan dalam isu ini, jika tidak, ianya hanya akan dianggap satu bentuk penipuan,” jelasnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast