Aedy Fadly menyempurnakan penyerahan bantuan Lesen Memandu Malaysia Kelas B2 (Motosikal) kepada seramai 993 penerima menerusi Program MyLesen Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2025 di Butterworth hari ini.

BUTTERWORTH – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melakukan pengauditan menyeluruh ke atas 500 syarikat pengendali kenderaan perdagangan dan perkhidmatan awam yang dikenal pasti mempunyai risiko keselamatan tinggi, bermula Isnin ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, operasi khas dikenali sebagai JPJ Inspection and Safety Audit (JISA) itu memberi tumpuan kepada tahap pematuhan syarikat terhadap aspek keselamatan, penyelenggaraan kenderaan, pengurusan pemandu serta pelaksanaan pelan teknikal yang ditetapkan.

Jelas beliau, syarikat yang akan diaudit terdiri daripada mereka yang mempunyai rekod saman tertunggak tinggi dan sejarah ketidakpatuhan berdasarkan maklumat JPJ dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Sebanyak 300 syarikat pengendali lori, 100 syarikat bas persiaran dan 100 syarikat bas ekspres telah disenaraikan untuk diaudit. Fokus kita ialah keselamatan dan pematuhan Kod Tata Amalan Industri (ICOP), termasuk semakan terhadap rekod pemandu dan teknikal kenderaan.

“Pasukan audit di seluruh negara telah digerakkan dan diberi tempoh sebulan untuk menyelesaikan siasatan ke atas semua syarikat terbabit,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan penyerahan bantuan Lesen Memandu Malaysia Kelas B2 (Motosikal) kepada seramai 993 penerima menerusi Program MyLesen Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2025 di sini, hari ini.

Menurut Aedy, audit JISA juga merangkumi pemeriksaan terhadap saman tertunggak syarikat dan pemandu, serta tahap pengurusan dalaman melibatkan pematuhan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana syarikat yang didapati melanggar undang-undang termasuk penggantungan atau pembatalan lesen pengendali dan lesen memandu vokasional seperti GDL dan PSV.

“Operasi ini juga adalah tindak balas segera kepada tragedi nahas membabitkan 15 pelajar UPSI baru-baru ini, selain rentetan beberapa insiden kemalangan kenderaan berat yang mengundang kebimbangan awam.

“JPJ komited untuk memperketat pengawasan terhadap pengusaha kenderaan komersial demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya tidak terus dikompromi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast