KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen menetapkan 1 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes rasuah yang melibatkan bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin di sini hari ini.
Penangguhan itu dibuat selepas peguam tertuduh, Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan masih belum menerima beberapa dokumen penting daripada pihak pendakwaan.
Hujahnya, ini menyebabkan pembelaan belum dapat difailkan seperti yang sepatutnya.
Hakim Mahkamah Sesyen, Rosli Ahmad kemudian membenarkan penangguhan pada tarikh seterusnya.
Mengikut pertuduhan, Sayed Amir Muzzakkir yang ketika itu berjawatan Setiausaha Politik kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin didakwa menerima wang rasuah berjumlah RM350,000 daripada Pengarah Urusan Syarikat Nexuscorp Group Sdn Bhd, Wan Azhar Mohamed Yusof.
Ia sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan tender perkhidmatan penyelenggaraan serta pembekalan alat ganti untuk peralatan infrastruktur, pelayan, perisian serta radio pengguna sistem RMPNET PDRM berjumlah RM381,112,042.44.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Yayasan Tanah Aku, Solaris Dutamas, di sini, jam 4 petang 4 Disember 2020 dan 3.30 petang 16 Disember tahun sama.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan. -MalaysiaGazette
















