Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) melakukan gimik pelancaran ketika hadir ke majlis Peluncuran Pelan Tempatan Kuala Limpur 2040 (PTKL 2040) di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 24 JUN 2025.

KUALA LUMPUR – Semua projek perumahan baharu yang didirikan di ibu negara disyaratkan supaya menggunakan tenaga solar sebagai satu langkah peralihan tenaga.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia merupakan antara syarat-syarat baharu yang terkandung dalam Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL 2040).

“Rumah-rumah baharu mesti menggunakan solar sebagai syarat baharu yang tidak ada dalam peraturan yang sebelumnya.

“…dan ini akan menjadi pilihan seharian kepada rakyat dan saya percaya bahawa rakyat akan pastikan ia akan menjadi satu kelestarian,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL 2040) di sini, hari ini.

Anwar Ibrahim  menyampaikan ucapan perasmian ketika hadir ke majlis Peluncuran Pelan Tempatan Kuala Limpur 2040 (PTKL 2040) di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 24 JUN 2025.

Terdahulu, Perdana Menteri melancarkan PTKL 2040 yang merupakan permulaan rombakan besar dalam perancangan pembangunan ibu negara.

Pelan berkenaan menjalani rombakan besar-besaran bagi memastikan ia lebih terangkum, sejajar kemajuan teknologi digital dan memenuhi konsep manusiawi seperti yang digariskan di bawah konsep Malaysia Madani.

Menurut Perdana Menteri, PTKL 2040 yang tertangguh akibat pandemik Covid-19 sebelum ini, mengambil kira kepentingan untuk membangunkan perumahan dan kemudahan rakyat di bandar raya ini, terutama majoriti penduduk golongan B40 dan M40.

“Selalunya pembangunan bandar itu meletakkan pembangunan rakyat hanya satu kelompok, terasing dan semua kemudahan tertumpu kepada kelompok lebih selesa. Tiada salahnya pendekatan itu, tapi ia harus lebih terangkum, barulah ada makna manusiawi mengikut falsafah Madani.

“Ini harus dimengerti dan saya percaya selepas peluncuran PTKL 2040 ini, bukan saja pegawai dan pimpinan politik, tapi korporat serta pengusaha utama dalam membangunkan (Kuala Lumpur) harus mengambil kira (pendekatan ini),” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast