KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrhaim berpesan agar mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang terlibat dalam perhimpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0 baru-baru ini tidak dibuang universiti.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir berkata, pada perdana menteri para pelajar terlibat mungkin membuat kesilapan.
Tetapi, kata Anwar masa depan dan pengajian mereka jauh lebih penting dan perlu diutamakan, katanya dalam hantaran di Facebook.
Semalam, Pesuruhjaya Polis Sabah berkata, peserta perhimpunan Gempur Rasuah 2.0 disiasat atas sembilan kesalahan.
Datuk Jauteh Dikun berkata, kesalahan yang dikesan antaranya menghasut, membuat pembakaran terbuka di tempat awam, membawa bahan kakisan berbahaya dalam perhimpunan dan menyentuh isu sensitif melibatkan raja, agama serta kaum atau 3R.
Selain Akta Perhimpunan Aman 2012, peserta itu juga disiasat berdasarkan undang-undang lain antaranya Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan.
Perhimpunan anjuran kumpulan Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah itu antara lain berarak sekitar bandar raya Kota Kinabalu serta membawa plakad mengenai pelbagai isu di Sabah seperti rasuah dan bekalan air selain membakar karikatur Perdana Menteri. – MalaysiaGazette















