Kementerian kesihatan
Kementerian Kesihatan Malaysia

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Kesihatan (KKM) telah menubuhkan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta
(JBMKKS) dalam usaha meneruskan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan, bagi menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan swasta dan inflasi perubatan.

Menurut satu kenyataan, jawatankuasa yang mengadakan mesyuarat pertamanya hari ini akan menyelaras pendekatan menyeluruh untuk merangka dan melaksanakan langkah-langkah secara kolaboratif yang sejajar dengan penjagaan kesihatan berasaskan nilai (value-based healthcare).

JBMKKS dipengerusikan bersama oleh Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Haji Dzulkefly Ahmad, dengan keanggotaan terdiri daripada wakil MOF, KKM, dan Bank Negara Malaysia (BNM), ujarnya.

“Jawatankuasa ini akan disokong oleh Majlis Perundingan, yang memberikan input dan nasihat teknikal.

“Majlis ini dianggotai oleh wakil-wakil utama dalam ekosistem
penjagaan kesihatan swasta, termasuk hospital swasta, profesional kesihatan, penyedia insurans dan pengendali Takaful, kumpulan advokasi pengguna, serta pihak akademik,” kata kenyataan bersama MOF dan KKM.

Menurutnya, peningkatan kos penjagaan kesihatan merupakan kebimbangan utama rakyat Malaysia dan kerajaan mengambil langkah proaktif untuk menanganinya.

Katanya, jawatankuasa bersama ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam membentuk sistem penjagaan kesihatan swasta yang mampan, telus dan benar-benar memberi nilai.

“Pada asasnya, ini adalah tentang melindungi kesejahteraan rakyat Malaysia dan mengukuhkan daya tahan negara kita,”
kata Amir Hamzah.

JBMKKS dibina atas usaha yang telah dijalankan sebelum ini, termasuk pelaksanaan keperluan pembayaran bersama (co-payment) oleh BNM, langkah interim bagi mengurangkan impak pelarasan premium perubatan kepada pemegang polisi yang
terkesan pada tahun 2024 hingga 2026, serta kerangka RESET yang merangkumi lima teras strategik untuk menangani inflasi perubatan, iaitu menyusun semula Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT), meningkatkan ketelusan harga, memperkukuh ekosistem Kesihatan Digital, mengembangkan pilihan penjagaan kos efektif, dan menyusun semula pembayaran penyedia perkhidmatan kesihatan.

RESET telah mendapat sokongan yang meluas daripada MOF, KKM, BNM dan pihak industri yang utama sebagai kerangka strategik untuk menangani peningkatan kos penjagaan
kesihatan dan insurans swasta.

Melangkah ke hadapan, Jawatankuasa ini akan menjadi platform utama untuk membimbing dan memantau pelaksanaan inisiatif-inisiatif di bawah RESET.

Kerja-kerja ke atas inisiatif penting ini telah bermula, khususnya dalam pembangunan produk asas MHIT yang mengimbangi kemampuan dan kemampanan, pembangunan sistem pembayaran berdasarkan Kumpulan Berkaitan Diagnostik (DRG) untuk pelaksanaan secara berfasa, serta peningkatan ketelusan maklumat harga.

Bagi pemegang polisi insurans perubatan sedia ada, langkah-langkah ini bertujuan untuk memastikan ketelusan harga yang lebih baik dan pada masa yang sama, menawarkan pilihan yang lebih mampu milik.

Sepanjang tempoh jawatankuasa ini berkuatkuasa, langkah-langkah untuk memperluas akses kepada penjagaan kesihatan swasta yang mampu milik akan diteruskan, termasuk dengan memperkukuh peranan penjagaan kesihatan primer dan kesinambungan penyedia penjagaan kesihatan, berasaskan
langkah-langkah yang telah diumumkan sebelum ini seperti inisiatif Rakan KKM.

Sementara itu, Dzulkefly berkata, kerangka RESET yang dibangunkan secara bersama ini turut merangkumi usaha KKM yang sedang dan akan dilaksanakan untuk memperkukuh sistem penjagaan kesihatan Malaysia untuk semua.

“Kerangka ini turut mencerminkan komitmen secara menyeluruh untuk melaksanakan penyelesaian seperti penjagaan berasaskan nilai, yang mengutamakan hasil kesihatan melalui pelaksanaan berfasa DRG serta peluasan pilihan penjagaan kesihatan dengan
harga yang berpatutan untuk rakyat.

“Inisiatif sebegini akan memberikan manfaat nyata kepada semua rakyat Malaysia melalui pengurangan kesesakan dan kepadatan di
hospital dan klinik awam,” tambah beliau.

JBMKKS sedar bahawa kejayaan pelaksanaan inisiatif RESET yang menyeluruh bergantung kepada kerjasama pelbagai pihak.

Oleh itu, Majlis Perundingan amat penting dalam mengukuhkan komitmen kerajaan untuk menyediakan platform khusus bagi pihak industri utama berganding bahu dan menyumbang kepakaran ke arah matlamat bersama, iaitu memastikan penjagaan kesihatan swasta yang mampu milik dan mudah diakses untuk semua rakyat Malaysia, sambil merangsang pertumbuhan sektor yang mampan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast