PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan memberi jaminan, keputusan rayuan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman tidak dipengaruhi oleh pandangan dalam media sosial, sebaliknya berdasarkan rekod mahkamah semata-mata.
Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang mengetuai panel tiga hakim menjelaskan, mereka tidak pernah mempertimbang pandangan netizen yang dilontarkan dalam media sosial ketika menentukan keputusan rayuan wakil rakyat itu.
“Mahkamah tidak pernah melangkaui skop perbicaraan, keputusan hanya berdasarkan rekod mahkamah semata-mata.
“Kenyataan `nakal’ seperti ini tidak perlu dibangkitkan bagi mengelak timbul fitnah dalam kalangan pihak yang tidak mengetahui bagaimana mahkamah membuat keputusan,” ujar beliau.
Hakim Ahmad Zaidi menyatakan demikian ketika merujuk isu yang dibangkitkan oleh pihak pendakwaan ketika sesi penghujahan supaya mahkamah tidak terpengaruh dengan pandangan netizen dalam media sosial.
Terdahulu, panel itu melepas dan membebaskan Syed Saddiq daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun serta dua sebatan atas kesalahan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Hakim Ahmad Zaidi yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin sebulat suara membenarkan rayuan bekas Menteri Belia dan Sukan itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di Kuala Lumpur pada 6 Mac 2020.
Pertuduhan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.
Tindakan itu didakwa menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini, antara 8 hingga 21 April 2018.
Syed Saddiq didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh didenda.
Beliau berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Bekas Presiden Muda itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Bagi kesalahan ini, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram. – MalaysiaGazette
















