JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri terus meningkatkan kecekapan dan ketelusan pentadbirannya menerusi pelaksanaan Sistem Aduan Johor yang kini mencapai tahap kemajuan teknikal sebanyak 85 peratus.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, sistem itu dibangunkan hasil mandat yang diberikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, sejak Disember 2024.
“Saya sendiri mengetuai pelbagai sesi libat urus melibatkan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Biro Pengaduan Awam, vendor teknikal dan agensi berkaitan bagi memastikan sistem ini benar-benar menjawab keperluan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media selepas mengadakan kunjung hormat ke atas Ketua Pengarah Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), Datuk Akbar Samon, di Putrajaya semalam.
Mohd Jafni berkata, sistem itu bukan sekadar aplikasi,m sebaliknya satu platform bersepadu yang membolehkan aduan rakyat disalurkan, dijejak dan diselesaikan secara langsung dalam waktu sebenar.
Beliau menambah, menerusi penggabungan sistem SISPAA dan GeoJB serta integrasi dengan agensi teknikal dan syarikat konsesi, sistem itu menyatukan pelbagai saluran aduan diterima menerusi media sosial, emel rasmi, ‘chatbot’ dan sistem dalaman pihak berkuasa tempatan.
“Setiap aduan akan terus dihantar kepada agensi bertanggungjawab tanpa pertindihan atau kelewatan. Saya memilih untuk memantau projek ini secara terperinci kerana ia nadi kepada kepercayaan rakyat terhadap kerajaan,” katanya.
Ujarnya, fasa pertama pelaksanaan akan bermula di MBJB sebelum diperluaskan ke kawasan Johor-Singapore Economic Zone (JSEZ), meliputi Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Majlis Perbandaran Kulai, Majlis Perbandaran Pengerang dan Majlis Perbandaran Pontian.
“Sistem ini mencerminkan usaha kerajaan membina pentadbiran yang tangkas, mesra rakyat dan benar-benar menyelesaikan masalah, bukan sekadar menyimpan aduan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Jafni turut menghadiri Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Johor Land Group (JLG), sebuah entiti strategik milik Johor Corporation yang berperanan membentuk landskap pembangunan dan ekonomi negeri.
Menurutnya, mesyuarat berkenaan membincangkan status pembinaan projek Residensi Bangsa Johor (RSBJ) di Simpang Renggam, Kluang serta perumahan mampu milik di Bandar Tiram, Johor Bahru.
“Saya tegaskan kepentingan memastikan projek ini berjalan mengikut jadual kerana rakyat luar bandar sudah lama menanti peluang memiliki rumah sendiri,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan semasa dan masa hadapan di Bandar Dato’ Onn juga dibincangkan yang dilihat berpotensi menjadi zon pertumbuhan baharu dalam sektor perumahan, komersial dan sosial.
“Pembangunan yang digerakkan oleh JLG bukan sekadar pembinaan fizikal. Ia membawa nilai tambah daripada segi penciptaan pekerjaan, pembangunan masyarakat dan peningkatan prasarana setempat,” katanya.
Tambah beliau, semua inisiatif yang digerakkan perlu seiring dengan hala tuju Johor sebagai negeri maju yang membangunkan ekonomi secara inklusif, seimbang dan mampan.
Mohd Jafni menegaskan, dalam konteks JS-SEZ yang dijangka melonjakkan integrasi ekonomi Johor-Singapura, peranan JLG sangat penting dalam menyediakan kawasan kediaman, perniagaan dan perindustrian bagi memenuhi keperluan pelabur serta rakyat.
“Kita tidak mahu pertumbuhan tanpa arah. Kita mahu pembangunan yang terancang dan berimpak tinggi,” katanya sambil menzahirkan komitmen untuk terus memantau semua inisiatif JLG agar setiap pelaburan memberi pulangan sosial dan ekonomi maksimum kepada rakyat.- MalaysiaGazette
















