Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menunjukkan beberapa senarai syarikat yang mencatatkan jumlah saman tertinggi di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya. Foto HARI ANGGARA, 25 JUN 2025.

PUTRAJAYA – KDEB Waste Management Sdn Bhd memiliki sebanyak 22,017 saman tertunggak, menjadikan ia antara 11 syarikat pengendali kenderaan melakukan banyak pelbagai kesalahan lalu lintas.

Selain itu, Mainza Mantap Sdn Bhd (5,108); Advancecon Machinery Sdn Bhd (3,620); VK Transport Sdn Bhd (3,016); Ng Swee Aik Trading Sdn Bhd (2,352) dan Boon Chin Transport Sdn Bhd (2,339).

Nation Dimensions Sdn Bhd (2,226); Syarikat Ehsan Enterprise Sdn Bhd (2,168); Nek Gurun Logistic Sdn Bhd (1,062); Macro Dimension Concrete Sdn Bhd (1,014) dan SL Transport & Trading Sdn Bhd.

Saman-saman yang dikeluarkan itu meliputi pelbagai kesalahan tekninal melibatkan brek dan tayar yang tidak mengikuti spesifikasi atau ubah suai kenderaan, tiada lesen memandu; lebih muatan; tiada lesen kenderaan dan memandu had laju.

Manakala 17 syarikat pengendali bas ekspres dikenalpasti mempunyai 200 saman tertunggak melibatkan kesalahan memandu lebih had laju, kesalahan lalu lintas, teknikal, tiada lesen memandu dan tiada lesen kenderaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menunjukan beberapa senarai syarikat yang mencatatkan jumlah saman tertinggi di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya. Foto HARI ANGGARA, 25 JUN 2025.

Syarikat-syarikat berkenaan ialah Cepat Ekspress Sdn Bhd (540); New Hoover Express & Travels Sdn Bhd (512); Kuala Kumpur -Alor Star Express Sdn Bhd (477); Express Senibudaya (M) Sdn Bhd (390) dan Suasana Edaran Sdn Bhd (370).

Kurnia Bistari Sdn Bhd (351); Bandar Express Services Sdn Bgd (300); Gunung Raya Ekspress Sdn Bgd (288): Konsortium Bas Ekspres Semenanjung (M) (272) dan GJG Travel & Tours Sdn Bgd (265) dan Sri Theven Travel Sdn Bhd (232).

Dyana Express Sdn Bhd (230); Goldstar Express (M) Sdn Bhd (218); Plusliner Sdn Bgd (208); Kuala Yakin Sdn Bgd (206) dan Cosmic Angle Travel and Tours Sdn Bhd (203).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook ketika mengumumkan senarai panjang tersebut hari ini mahu semua syarikat yang didedahkan itu melunaskan saman tertunggak dalam tempoh 14 hari bermula hari ini pada kadar semasa.

“Mereka perlu bayar jumlah penuh, dengan kadar sedia ada,” katanya.

Menurut Anthony, tindakan ini sebagai peringatan dan pengajaran kepada syarikat yang terlibat supaya mengubah amalan keselamatan masing-masing demi mengelakkan kemalangan jalan raya berlaku.

“Tindakan ini demi memastikan kemalangan tragi’s melibatkan bas Universiti Pendidikan Sultan Idris yang turut mengorbankan 15 mahasiswa, baru-baru ini tidak berulang lagi,” tegas beliau.

Jelas beliau, semua kesalahan yang dilakukan syarikat-syarikat berkenaan tertakluk di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333),  AktaLembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

Selain saman, Anthony berkata JPJ juga akan melakukan audit di syarikat-syarikat yang diumum pada hari ini untuk melakukan mitigasi penambahbaikan aspek keselamatan yang berkaitan.

“Langsaikan saman dulu. Lepas itu, kita (JPJ) akan masuk dan ambil langkah berkomunikasi untuk bantu mereka. Kita akan lakukan audit.
Kita boleh beri nasihat bagaimana nak ubah, bagaimana nak bantu dari aspek perlesenan pemandu, latihan dan sebagainya,” katanya.

Mengulas mengenai pendedahan ini, Anthony berkata, ia merupakan sebahagian daripada usaha kementerian dan JPJ bagi meningkatkan tahap pematuhan undang-undang jalan raya serta langkah menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

“Memang agar drastik, kita tidak pernah lakukan sebelum ini. Kita tidak mahu lagi ada tragedi selepas ini. Ini mesti dijadikan sebagai satu pengajaran.

“Tetapi yang lebih penting adalah mereka (syarikat ini) kena ubah budaya mereka (iaitu) budaya mereka mengendalikan syarikat, budaya mereka memastikan setiap kenderaan (dari aspek keselamatan), (selain) setiap pemandu itu mesti patuh kepada budaya keselamatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast