Maria Chin Abdullah

PUTRAJAYA – Usaha bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah untuk mencabar prosiding menghina Mahkamah Syariah berakhir di Mahkamah Persekutuan hari ini selepas panel tiga hakim sebulat suara menolak permohonannya.

Panel yang diketuai Hakim Datuk Nordin Hassan bersidang bersama dua lagi hakim, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera memutuskan permphonan tersebut tidak menimbulkan sebarang isu baharu yang memerlukan penelitian lanjut oleh Mahkamah Persekutuan.

“Isu bidang kuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah di bawah Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan telah dijelaskan dengan jelas dalam keputusan-keputusan sebelum ini,” kata Nordin ketika ujar membacakan keputusan di sini hari ini.

Maria sebelum ini berdepan notis tunjuk sebab yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Syariah pada 2019 susulan kenyataannya mengkritik keputusan mahkamah menjatuhi hukuman penjara ke atas Emilia Hanafi, bekas isteri ahli perniagaan terkenal, SM Faisal SM Nasimuddin.

Notis itu dikeluarkan selepas peguam kepada SM Faisal memohon untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Maria dan permohonan itu telah dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah.

Ekoran itu, Maria mengambil langkah memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi sivil pada 2021 dengan menamakan Menteri Hal Ehwal Agama ketika itu, Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) serta Jabatan Kehakiman Syariah Wilayah Persekutuan sebagai responden.

Walaupun Mahkamah Tinggi sivil pada 22 Ogos 2022 membenarkan Maria memulakan semakan kehakiman, keputusan itu dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 27 November 2024 selepas membenarkan rayuan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Pada April 2022 pula, Mahkamah Tinggi Syariah menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadap Maria kerana menghina mahkamah namun beliau tidak hadir ke prosiding berkenaan kerana sedang menerima rawatan di hospital ketika itu.

Peguam pemerhati bagi pihak SM Faisal, Datuk Akberdin Abdul Kader memaklumkan Maria kini perlu mengemukakan rayuan terhadap hukuman penjara tersebut di Mahkamah Rayuan Syariah.

Dalam prosiding hari ini, Maria diwakili oleh peguam, Rosli Dahlan dan Bahari Yeow Tien Hong manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi serta Mohammad Sallehuddin Md Ali hadir bagi pihak AGC.

Peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dan Mohamed Haniff Khatri Abdulla pula hadir sebagai pemerhati bagi pihak MAIWP. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast