SHAH ALAM – Kes bunuh pelajar universiti swasta di sebuah kondominium di Cyberjaya baru-baru ini berjaya diselesaikan dalam tempoh 48 jam selepas polis menahan empat orang suspek.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek utama adalah lelaki yang direman sebelum ini.
Manakala bakinya adalah suspek wanita bagi membantu siasatan.
Daripada ketiga-tiga suspek wanita berkenaan salah satu merupakan teman wanita suspek yang juga rakan serumah mangsa.
“(Daripada tiga perempuan yang direman) seorang adalah rakan rumah mangsa yang juga teman wanita suspek manakala dua lagi tinggal di tingkat atas kondominium berkenaan,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hussein berkata, pihaknya tidak menolak suspek mempunyai niat jahat terhadap mangsa yang tinggal sendiri ketika kejadian selepas rakan serumah berada di kampung masing-masing ketika cuti semester.
“Polis dapati kes ini lebih kepada suspek ambil kesempatan kepada mangsa yang tinggal seorang, suspek memang ada niat tidak baik kepada mangsa, jadi bila ada peluang yang mana sewaktu kejadian suspek dia telah berada di apartmen itu guna kad akses yang diberi teman wanitanya yang telah balik kampung selepas tempoh peperiksaan.
“Dalam tempoh itu, suspek ambil kesempatan ke atas mangsa degan memukulnya menggunakan objek sehingga menyebabkan kecederaan menjadi punca kematian,” jelasnya.
Selain itu, katanya, suspek sebelum ini beberapa kali pernah menginap di kondominium berkenaan bersama teman wanitanya.
“Teman wanita suspek serahkan kad akses dan kunci untuk tinggal di biliknya (sebab) sebelum itu lelaki itu ada (pernah) bermalam dengan teman wanitanya di (rumah itu),” ujarnya.
Tambah Hussein, reman kesemua yang tamat pada 3 dan 4 Julai akan disambung.
Sebagai rekod, sebelum ini Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 10.28 pagi 24 Jun lalu.-MalaysiaGazette
















